Dua tahun Prabowo-Gibran: Antara pencapaian dan kontroversi

Iklan
Program MBG merupakan antara dasar utama yang dilaksanakan secara rasmi pada 6 Januari 2025.

JAKARTA - Genap dua tahun pemerintahan Presiden Prabowo Subianto dan Wakil Presiden (Wapres), Gibran Rakabuming Raka pada 20 Oktober 2026, Indonesia berdepan dengan satu persoalan penting: sejauh manakah pemerintah berjaya menterjemahkan janji politik kepada peningkatan taraf hidup rakyat?

Sejak mula memegang tampuk pemerintahan pada 20 Oktober 2024, pentadbiran Prabowo-Gibran memberi penekanan kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kebajikan rakyat, meningkatkan mutu pendidikan dan membangunkan sumber manusia demi kesejahteraan masyarakat Indonesia.

Iklan
Iklan

Menurut Sekretariat Kabinet Indonesia, pentadbiran Prabowo telah melaksanakan 121 dasar transformasi dalam tempoh 21 bulan merangkumi usaha menangani pelbagai cabaran nasional.

Dari sudut ekonomi makro, Indonesia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.11 peratus pada 2025, meningkat berbanding 5.03 peratus pada tahun sebelumnya.

Iklan

Data diterbitkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia mendapati ekonomi negara itu berkembang 5.29 peratus pada suku kedua 2026, sekali gus menunjukkan kegiatan ekonomi domestik kekal kukuh. Bank Indonesia turut melaporkan bahawa penggunaan isi rumah meningkat 5.06 peratus manakala pelaburan berkembang 6.87 peratus pada tempoh tersebut.

Statistik dikeluarkan BPS pada 5 Ogos lalu juga menunjukkan kadar penduduk miskin di Indonesia mencatatkan penurunan kepada 8.07 peratus pada Mac 2026 melibatkan 22.93 juta orang. Angka tersebut menyusut sebanyak 920,000 orang berbanding Mac 2025.

Iklan

Perkembangan tersebut merupakan petunjuk positif, tetapi masih terdapat jutaan rakyat yang memerlukan sokongan ekonomi dan sosial. Dalam aspek harga barangan, BPS melaporkan inflasi tahunan Indonesia mencapai 3.28 peratus pada September.

Insiden cetus kritikan

Program Makan Bergizi Gratis (MBG) menjadi antara agenda penting pemerintahan Prabowo-Gibran dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan makanan berkhasiat dengan nutrisi lengkap untuk kanak-kanak dan pelajar malah turut membuka peluang kepada pembekal tempatan serta merangsang aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

Program MBG merupakan antara dasar utama yang dilaksanakan secara rasmi pada 6 Januari 2025.

Pelaksanaan program tersebut bagaimanapun tidak terlepas daripada kontroversi terutamanya kes keracunan makanan yang melibatkan ribuan murid dan pelajar sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Insiden di beberapa wilayah mencetuskan kritikan pelbagai pihak terhadap aspek keselamatan makanan dan keberkesanan pelaksanaan program.

Meskipun begitu, program tersebut dilaporkan telah memberi manfaat kepada kira-kira 56.9 juta penerima di seluruh negara sehingga 31 Ogos lalu.

Selain pencapaian ekonomi, pemerintahan Prabowo-Gibran turut memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan kesihatan. Menurut data rasmi, sebanyak 16,167 sekolah telah dibaik pulih pada 2025 manakala program Cek Kesihatan Gratis (CKG) menjangkau 106.3 juta orang setakat 13 Oktober.

Indeks Pembangunan Manusia Indonesia juga meningkat kepada 75.90 pada 2025 berbanding 75.02 pada tahun sebelumnya.

Perkembangan itu menyerlahkan usaha kerajaan memperluas akses kepada kemudahan asas dan meningkatkan kualiti hidup rakyat meskipun keberkesanan jangka panjang setiap program masih perlu dinilai.

Dalam sektor pertanian, pemerintahan Prabowo-Gibran mencatatkan pencapaian melalui usaha memperkukuh sara diri beras. Pengeluaran beras negara itu mencapai 34.69 juta tan pada 2025 manakala stok simpanan beras kerajaan mencecah 4.61 juta tan pada September. Ia membuktikan usaha pemerintah untuk meningkatkan pengeluaran domestik, memperkukuh bekalan makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import beras. Namun, kestabilan harga dan kemampuan rakyat mendapatkan beras pada harga berpatutan kekal menjadi cabaran penting.

Dari sudut penilaian masyarakat pula, kaji selidik terbaharu Parameter Politik Indonesia (PPI) menunjukkan kira-kira 67 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Probowo setakat ini manakala penganalisis politik berpendapat peranan Gibran perlu dinilai semula selepas keputusan tinjauan terhadapnya berada pada tahap terlalu rendah. - Agensi