Malaysia catat skor Indeks 'Kebebasan Ekonomi' tertinggi sejak 1970 - CME

Iklan
Malaysia kekal sebagai ekonomi kedua paling bebas di rantau ASEAN.

MALAYSIA  mencatatkan skor 7.57 daripada 10 dalam 'Economic Freedom of the World: 2026 Annual Report' yang merupakan prestasi terbaiknya sejak indeks tersebut diperkenalkan pada 1970, demikian menurut Center for Market Education (CME).

Kumpulan pemikir tersebut dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan skor Malaysia meningkat sedikit kepada 7.57 berbanding 7.55 pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, peningkatan kecil tersebut tidak mencukupi untuk negara mengekalkan kedudukan ke-33, dengan Malaysia turun dua anak tangga ke kedudukan ke-35 daripada 165 negara memandangkan negara-negara lain mencatatkan kemajuan yang lebih pesat.

"Ekonomi Malaysia kini jauh lebih bebas berbanding pada awal abad ini. Skor negara merosot daripada 6.99 (kedudukan ke-36) pada 1995 kepada 6.12 pada 2002 susulan krisis kewangan Asia, apabila kawalan modal dan kejutan dasar mula memberi kesan.

Iklan

"Kedudukan skor negara jatuh ke paras terendah di tempat ke-97 pada 2009, namun meningkat kembali secara konsisten sejak itu,” maklum CME.

Malaysia juga kekal sebagai ekonomi kedua paling bebas di rantau ASEAN, hanya di belakang Singapura yang mencatat 8.43 mata untuk menduduki tempat ketiga di peringkat global.

Iklan

Di peringkat global, Hong Kong menduduki tempat teratas dalam senarai tersebut dengan skor 8.53, diikuti Switzerland, Singapura, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CME, Dr Carmelo Ferlito berkata, walaupun skor rekod Malaysia itu menggalakkan, ia tidak seharusnya menyebabkan sikap leka, memandangkan negara lain melaksanakan pembaharuan pada kadar yang lebih pantas, mengakibatkan kedudukan Malaysia turun dua anak tangga.

Beliau berkata, kestabilan kewangan negara dan pasaran buruh yang fleksibel kekal sebagai kekuatan utamanya.

"Bagaimanapun, penglibatan negara dalam ekonomi melalui syarikat berkaitan kerajaan dan bank milik negara masih menjadi antara yang paling tinggi di dunia.

"Jika Malaysia mahu menyertai kelompok 20 negara teratas, ia mesti mengurangkan pemilikan oleh negara, memastikan perkhidmatan awam berlandaskan peraturan dan bersifat saksama, memudahkan struktur tarifnya, serta membuka pasaran kepada persaingan,” katanya. - Bernama