Video tular kejar Persona: Pemandu ditahan positif dadah

Iklan
Kejadian membabitkan sebuah Proton Persona dan teksi jenis Perodua Bezza berlaku kira-kira jam 4.30 petang, Ahad.

JOHOR BAHRU – Pemandu Proton Persona yang dipercayai melanggar sebuah teksi sebelum cuba melarikan diri di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi ditahan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 pagi, manakala saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian membabitkan sebuah Proton Persona dan teksi jenis Perodua Bezza itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang, Ahad, sebelum rakaman insiden berkenaan tular di media sosial.

"Siasatan awal mendapati teksi berkenaan dilanggar dari arah belakang oleh Proton Persona sebelum pemandunya dipercayai cuba melarikan diri.

Iklan

“Pemandu teksi kemudian bertindak mengejar kenderaan itu dan diekori sebuah Perodua Myvi yang membantu sehingga kenderaan itu berhenti di susur jalan masuk ke Taman Molek,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tangkap layar video tular memaparkan Proton Persona didakwa cuba melarikan diri selepas melanggar bahagian belakang teksi.

Iklan

Mohd Sohaimi berkata, pemandu teksi berkenaan turut ditahan pada hari sama, kira-kira jam 3.10 petang, di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

Bagaimanapun katanya, saringan awal air kencing terhadap pemandu teksi itu didapati negatif dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa bagi permohonan reman.

Katanya, kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu turut disita bagi membantu siasatan.

"Kes pemanduan secara melulu dan berbahaya itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kes berasingan turut dijalankan terhadap pemandu Proton Persona mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan saringan awal air kencingnya,” katanya.

Terdahulu, video kejadian yang tular di media sosial memaparkan sebuah Perodua Myvi membantu mengejar Proton Persona yang didakwa cuba melarikan diri selepas melanggar bahagian belakang teksi berkenaan.

Kejadian itu menarik perhatian orang ramai apabila Proton Persona terbabit dilihat dipandu secara berbahaya sebelum berjaya dihentikan di tepi jalan.