JAKARTA – Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang mencetuskan krisis jerebu serantau memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dari Januari hingga akhir September 2026, menurut sebuah badan pemantau yang menganalisis imej satelit pada Isnin.
Angka terbaharu berkenaan dikeluarkan ketika pemerintah terus menolak desakan banyak pihak supaya kebakaran yang berlarutan selama beberapa bulan itu diisytiharkan sebagai bencana nasional.
Data daripada laman pemantauan penyahhutanan, Nusantara Atlas menunjukkan kawasan hampir 12 kali ganda keluasan London telah musnah dijilat api sepanjang 2026 dengan sebahagian besarnya berlaku ketika kemarau melanda sejak Jun yang diburukkan lagi oleh fenomena super El Nino.
Setakat ini, pemerintah Indonesia belum mengeluarkan angka rasmi keluasan kawasan terbakar sejak mengumumkan kira-kira 202,000 hektar musnah sehingga akhir Julai.
Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau berkata, keluasan sebenar berkemungkinan jauh lebih besar berbanding 1,916,588 hektar yang dikesan oleh organisasinya.
“Anggaran keluasan kawasan terbakar yang kami laporkan adalah konservatif atas dua sebab. Pertama, kami tidak mengambil kira kawasan kebakaran yang kurang daripada 6.25 hektar. Kedua, kami mengutamakan ketepatan data bagi mengelakkan pengesanan yang salah,” jelasnya.
Bagi 2026, anggaran itu turut terjejas akibat jerebu tebal yang pada waktu tertentu menghalang imej satelit daripada memberikan gambaran jelas mengenai kawasan terbakar.
“Justeru, keluasan sebenar dipercayai jauh lebih besar,” katanya.
Bagaimanapun, data Nusantara Atlas menunjukkan keluasan kawasan terbakar sehingga akhir September 2026 adalah 38 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2019.
Satelit yang digunakan oleh badan pemantau itu pula belum tersedia ketika kebakaran besar melanda pada 2015 menyebabkan perbandingan data bagi kedua-dua tahun tidak dapat dilakukan secara setara.
Bagaimanapun, Gaveau menjangkakan kebakaran pada 2026 berkemungkinan seteruk yang berlaku pada 2015.
“Berdasarkan pemerhatian saya, keadaan tahun ini mungkin sama buruk. Jumlah titik panas yang terus meningkat menunjukkan kebakaran masih merebak,” tambahnya.
Sementara itu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) mengesahkan udara tercemar telah melepasi rekod pada 2015.
Timbalan Pengarah NEA, Jason Evans Tan pula memberitahu, kualiti udara di negara itu mencatatkan tahap 'tidak sihat' selama 15 hari berturut-turut berdasarkan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) tempatan, melebihi lapan hari yang direkodkan pada 2015.
Ketika desakan negara jiran kian meningkat, Indonesia sekali lagi menolak bantuan asing untuk mengawal api yang terus marak.
"Persoalannya bukan sama ada bantuan tersedia atau tidak, sebaliknya kami masih mampu menangani situasi ini sendiri buat masa ini,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman. - AFP