KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa supaya memberikan penjelasan mengenai asas Perlembagaan yang digunakan dalam isu pemecatan 10 Exco Kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, penjelasan itu penting memandangkan tindakan yang dibuat itu bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau mendakwa, pemecatan barisan Exco oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tanpa nasihat Menteri Besar itu adalah tidak berperlembagaan.
“Tindakan (pemecatan) ini tidak berperlembagaan. Malangnya, Peguam Negara yang menjadi penasihat kepada kerajaan menyatakan bahawa tindakan yang dibuat itu adalah sah mengikut Perlembagaan sedangkan ia tidak selari dengan Perlembagaan ini.
“Saya ingin bertanya sebagai seorang ahli Parlimen daripada sebuah negeri dalam Persekutuan. Adakah Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini... benar-benar menjamin kebebasan kepada Perlembagaan negeri-negeri? Minta kerajaan jelaskan perkara dan tindakan dibuat Peguam Negara di Negeri Sembilan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Pada 20 September lalu, pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.
Pembatalan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Susulan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan pembatalan pelantikan berkenaan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang negeri.
Exco tersebut ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.