KANGAR - Pembangunan Sovereign AI Cloud perlu dipacu kepakaran anak tempatan bagi memastikan kedaulatan data negara terpelihara seiring usaha memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Pensyarah Kanan Jabatan Mekatronik, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Mohd Saifizi Saidon berkata, keupayaan mengawal data strategik negara tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada lokasi penyimpanan data, sebaliknya turut melibatkan pemilikan sistem, pengurusan operasi dan kawalan akses.
Menurutnya, kebergantungan kepada penyedia awan dan pusat data luar negara boleh menimbulkan persoalan berkaitan bidang kuasa, kawalan akses serta kesinambungan operasi, terutama apabila melibatkan maklumat strategik.
“Pada masa sama, kewujudan pusat data dalam negara sahaja tidak menjamin keselamatan maklumat sekiranya kawalan operasi, pemilikan sistem, pengurusan akses dan perlindungan data tidak dibangunkan secara menyeluruh,” katanya mengulas mengenai pembangunan AI dan automasi negara.
Beliau berkata, pengumuman Sovereign AI Cloud dalam Belanjawan Madani 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan langkah penting ke arah memperkukuh kawalan negara terhadap data rakyat dan maklumat strategik.
Bagaimanapun, usaha itu perlu disokong pembangunan pusat data strategik tempatan serta tenaga pakar yang mempunyai kemahiran dalam keselamatan sistem, rangkaian, penyimpanan data dan operasi pengkomputeran awan.
“Pada masa sama, kewujudan pusat data dalam negara sahaja tidak menjamin keselamatan maklumat sekiranya kawalan operasi, pemilikan sistem, pengurusan akses dan perlindungan data tidak dibangunkan secara menyeluruh.,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, peruntukan RM30 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengguna pakai AI serta automasi perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti dan daya saing perniagaan.
Mohd Saifizi berkata, perkara itu seiring dengan Belanjawan Madani 2027 yang menekankan kepada latihan dan pensijilan 5,000 tenaga profesional AI bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
“Universiti perlu memainkan peranan lebih aktif dengan bekerjasama secara langsung bersama PMKS bagi menterjemahkan kepakaran dalam bidang AI, robotik, automasi industri, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan analitik data kepada penyelesaian praktikal.
“Kejayaan pelaksanaan teknologi berkenaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan penerima semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui peningkatan produktiviti, pengurangan kos operasi, kualiti produk dan daya saing perniagaan,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan kepentingan persediaan menghadapi perkembangan pengkomputeran kuantum yang berpotensi memberi cabaran kepada kaedah kriptografi tertentu pada masa hadapan.
Justeru, persediaan awal termasuk pembangunan kriptografi pascakuantum, keselamatan rangkaian, identiti digital dan perlindungan sistem AI perlu dipertingkatkan.