25 tahun pemerintahan Sultan Selangor diabadikan dalam buku khas

Iklan
Sultan Sharafuddin (kanan) diiringi Amirudin melakukan simbolik Pelancaran Buku Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sampul Surat Hari Pertama dan Setem serta Pelancaran Syiling Khas sempena Jubli Perak pemerintahan baginda di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM – Sejarah 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diabadikan menerusi penerbitan buku khas, setem dan syiling sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penerbitan bahan bersejarah itu bukan sekadar merakam perjalanan pemerintahan Sultan Sharafuddin, malah memelihara warisan dan identiti Kesultanan Selangor untuk tatapan generasi akan datang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sampul Surat Hari Pertama dan Setem serta Pelancaran Syiling Khas sempena Jubli Perak pemerintahan baginda di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini pada Isnin.

Menurutnya, sambutan Jubli Perak yang menandakan 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor turut mencerminkan keunikan institusi diraja, keluhuran perlembagaan serta hubungan erat antara raja dengan rakyat.

Iklan

Mengulas penerbitan buku itu, Amirudin berkata, usaha berkenaan direalisasikan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menghasilkan naskhah yang menjadi khazanah ilmu dan warisan negeri.

Beliau berkata, setem khas yang dilancarkan turut mengetengahkan warisan dan kebesaran Diraja Selangor menerusi imej Balairung Seri, Istana Alam Shah, Tengkolok Balung Raja dan Keris Terapang Gabus.

Iklan

"Setem yang dihasilkan ini turut menampilkan motif geometri serta Bunga Tanjung berelopak sembilan yang melambangkan keagungan institusi diraja, keluhuran adat dan kedaulatan negeri Selangor," jelas beliau.

Menurutnya, kerjasama Pos Malaysia Berhad dalam penghasilan setem itu membantu memartabatkan sejarah dan warisan Kesultanan Selangor untuk generasi akan datang.

"Selain itu, syiling khas yang dihasilkan menerusi usaha Perbendaharaan Negeri Selangor menjadi tanda penghargaan terhadap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin, selain melambangkan kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negeri.

"Usaha memperingati Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor bukan hanya melalui catatan sejarah, tetapi turut mengangkat seni, simbol dan warisan yang mempunyai nilai sejarah serta budaya tinggi," tambah beliau.