KUALA LUMPUR – Dr Roket menyasarkan untuk membantu 150,000 pelajar pascasiswazah menerusi platform pembelajaran digital Roket Valley menjelang 2030 bagi memperluas akses kepada panduan dan bimbingan akademik.
Pengarah Urusan 2M World Sdn. Bhd., Dr Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri, berkata platform itu dibangunkan bagi memudahkan pelajar sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) mendapatkan panduan serta sokongan untuk menyiapkan tesis.
Katanya, menerusi platform itu, pelajar boleh mendapatkan panduan awal untuk memulakan pengajian dengan lebih terarah tanpa perlu menunggu kelas bersemuka.
“Lebih istimewa, buat masa ini kami menawarkan akses percuma kepada platform ini bagi membolehkan pelajar mendapatkan bimbingan awal untuk merancang perjalanan pengajian sarjana atau PhD.
“Yuran asas untuk mengakses platform ini ialah RM499, namun akses tersebut diberikan secara percuma sempena pelancarannya,” katanya ketika ditemui media pada sambutan ulang tahun ke-10 2M World Sdn. Bhd. menerusi program Sedekad Bersama Dr Roket di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Beliau berkata platform berkenaan membolehkan lebih ramai pelajar memanfaatkan bahan pembelajaran dan panduan akademik yang disediakan.
Katanya, inisiatif itu merupakan langkah untuk memperluas capaian Dr Roket, khususnya kepada pelajar yang kurang jelas tentang langkah awal memulakan pengajian, mereka yang berdepan kesukaran mengurus masa, menyusun penyelidikan dan menyiapkan tesis.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul Nizam berkata, sejak penubuhannya pada 2016, lebih 80,000 peserta telah mengikuti pelbagai program bimbingan Dr Roket secara dalam talian dan bersemuka.
“Daripada jumlah itu, seramai 234 calon PhD telah dibimbing secara langsung sehingga berjaya menamatkan pengajian. Pencapaian ini mencerminkan hasil usaha bimbingan intensif yang dilaksanakan,” katanya.
Antara program yang ditawarkan ialah Postgraduate Transformation Program (PTP), Roket Intensive Class (RIC), Thesis Mastery Bootcamp (TMB) dan Vivalicious, yang merangkumi panduan pengajian, penambahbaikan tesis serta persediaan menghadapi viva.
Program berkenaan disertai pelajar daripada pelbagai bidang pengajian, termasuk perubatan, kejuruteraan, undang-undang, sains sosial dan pertanian, dari institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.