Selangor Advance bantu kontraktor ‘bernafas’

Iklan
Amirudin (tiga dari kiri) bersama rakan strategik Selangor Advance termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M Yusop (dua dari kiri) dan Xing Xian (kanan) ketika majlis pelancaran SA500.

KUALA LUMPUR – Masalah kelewatan pembayaran bagi kerja yang telah disiapkan menyebabkan sesetengah kontraktor berdepan kekangan aliran tunai sehingga menjejaskan pembayaran gaji pekerja dan keupayaan menerima projek baharu.

Situasi itu pernah dialami Mosaz Works Sdn Bhd, sebuah syarikat penyelenggaraan kemudahan lebuh raya berpangkalan di Shah Alam, sebelum menyertai program pembiayaan Selangor Advance.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusannya, Syamer Zolkiflee berkata, sebelum ini syarikat yang menggaji kira-kira 80 pekerja itu terpaksa menunggu antara tiga hingga enam bulan untuk menerima bayaran invois bagi kerja penyelenggaraan Lebuhraya SUKE, DASH dan SILK yang dikendalikan untuk Prolintas.

Menurutnya, tempoh menunggu yang panjang menyebabkan rizab tunai syarikat hanya mampu menampung satu atau dua projek pada satu-satu masa.

Iklan

Keadaan itu turut menyebabkan pembayaran gaji pekerja kadangkala lewat, manakala bekalan terpaksa diperoleh secara kredit.

Syamer berkata, menerusi Selangor Advance, syarikatnya kini menerima wang dalam tempoh 48 jam selepas invois dikeluarkan, sekali gus membolehkan operasi berjalan lebih lancar.

Iklan

Katanya, syarikat itu kini dipercayai mengendalikan dua lagi kontrak lebuh raya, selain berjaya mengatasi masalah kekurangan pekerja dan hampir tidak dikenakan penalti.

Malah, Mosaz Works turut mengekalkan prestasi sekitar 90 peratus setiap bulan serta menerima Anugerah Kontraktor daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hasil pencalonan Prolintas.

Pengalaman itu mencerminkan cabaran aliran tunai yang dihadapi kontraktor apabila bayaran bagi kerja yang telah dilaksanakan mengambil masa berbulan-bulan untuk diterima.

Sejak diperkenalkan ketika pandemik Covid-19, Selangor Advance dilaporkan telah membantu hampir 1,500 syarikat dengan jumlah pembiayaan terkumpul melebihi RM2 bilion.

Program berkenaan menyediakan pembiayaan lebih awal berdasarkan kontrak atau invois sedia ada bagi membantu kontraktor menampung kos operasi sementara menunggu bayaran diterima.

Ia digerakkan menerusi dana pusingan bernilai RM200 juta, dengan bayaran balik pembiayaan disalurkan semula untuk dimanfaatkan syarikat lain.

Kemudahan pembiayaan patuh Syariah itu turut dikuasakan oleh CapBay.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan SA500, fasa baharu program berkenaan yang menyasarkan kira-kira 500 lagi kontraktor dan pembekal dalam rantaian bekalan projek negeri.

Sasaran itu merangkumi syarikat yang berurusan dengan kerajaan negeri, Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri serta anak syarikat kerajaan negeri.

Pengarah Selangor Advance, Ang Xing Xian berkata, kemudahan itu bertujuan membantu lebih ramai kontraktor mengurus aliran tunai supaya mereka dapat meneruskan pelaksanaan projek tanpa terlalu dibebani tempoh menunggu bayaran.

“Bagi kebanyakan kontraktor, masalahnya bukan kekurangan kerja, tetapi menunggu bayaran sementara kos operasi terus berjalan.

“Kisah seperti Syamer menunjukkan apa yang boleh berlaku apabila tunai sampai lebih awal, iaitu projek diteruskan, pekerja dibayar dan peluang baharu boleh direbut.

“Kini, melalui SA500, kami mahu memastikan lebih ramai kontraktor Selangor merasai manfaat yang sama, dan permohonannya boleh dibuat pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, Syamer menasihatkan kontraktor lain supaya mendapatkan maklumat mengenai kemudahan pembiayaan yang sah bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembiaya persendirian yang mengenakan kadar faedah tinggi.

Beliau berkata, kerjasama dengan pembiaya yang sah serta rekod kredit yang baik dapat membantu kontraktor mendapatkan akses pembiayaan dan membuka peluang untuk menyertai lebih banyak tender serta projek.

Kontraktor dan pembekal yang terlibat dalam projek negeri dan berminat mendapatkan kemudahan berkenaan boleh mengemukakan permohonan menerusi laman web www.selangoradvance.com.my.