PARIS - Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez pada Isnin mengakui pasukan keselamatan di beberapa bandar 'hilang kawalan' ketika demonstrasi ganas tercetus di seluruh negara pada akhir minggu lalu.
Menurutnya, kelemahan dalam persiapan menghadapi demonstrasi itu menyebabkan pihak berkuasa gagal mengawal keadaan, sekali gus mencetuskan kekacauan dan kemusnahan harta benda yang meluas.
"Saya telah mengemukakan peletakan jawatan kepada Presiden Emmanuel Macron kerana berasa bertanggungjawab atas segala yang berlaku. Bagaimanapun, beliau menolak permohonan itu," ujarnya.
Macron mengarahkan Nunez mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan ketelusan dalam menyiasat kelemahan perancangan dan risikan yang membawa kepada tercetusnya keganasan itu.
Beliau mengarahkannya supaya memperkenalkan kaedah operasi baharu bagi pasukan keselamatan dalam menangani krisis berkenaan.
Istana Elysee dalam satu kenyataan memaklumkan Macron juga mengesahkan terdapat 'kelemahan dalam aspek persediaan dan risikan' susulan rusuhan berkenaan.
Beberapa ahli politik pembangkang sebelum ini menggesa pemecatan Nunez selepas demonstrasi membantah kos sara hidup bertukar menjadi rusuhan paling buruk dalam tempoh beberapa tahun.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, hampir 2,400 individu ditahan pada Sabtu manakala kira-kira 1,000 anggota keselamatan cedera ketika bertempur dengan penunjuk perasaan.
Selain itu, kira-kira 1,500 kedai dan premis perniagaan di beberapa bandar menjadi sasaran 'amukan' dan dijarah kumpulan penunjuk perasaan bertopeng.
Presiden Persekutuan Peruncitan dan Perdagangan, Alexandre Bompard memberitahu kerugian yang ditanggung premis berkenaan dianggarkan mencecah ratusan juta euro, namun jumlah tepat masih belum dapat dipastikan. - AFP