Belanjawan 2027: Kementerian, agensi kerajaan perlu percepat pelaksanaan - Anwar

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu dipercepat bagi memastikan dasar dan peruntukan yang diumumkan, dapat memberi manfaat kepada rakyat tanpa sebarang kelewatan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keberkesanan belanjawan bukan sahaja bergantung pada perancangan dan pengumuman dasar, tetapi juga keupayaan jentera kerajaan melaksanakannya dengan cekap, amanah serta mengikut tempoh ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Belanjawan boleh dilakar, tetapi cabarannya pelaksanaannya,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan merakamkan penghargaan kepada warga kementerian itu, yang bertungkus-lumus menyiapkan Belanjawan 2027, sambil menegaskan bahawa reformasi ekonomi dan institusi memerlukan komitmen serta keberanian untuk bertindak.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan pembaharuan, termasuk penyasaran subsidi dan pengukuhan tatakelola bagi memperbaiki pengurusan fiskal serta memastikan sumber negara digunakan dengan lebih berkesan.

Anwar menyifatkan penyasaran subsidi sebagai antara langkah ekonomi paling mencabar kerana memerlukan keberanian politik, selain sokongan jentera pentadbiran untuk menangani ketirisan dan pembaziran.

Iklan

Beliau turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya mengelakkan kelewatan tidak munasabah dalam melaksanakan keputusan kerajaan.

Anwar berkata, beberapa inisiatif menunjukkan keputusan boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat, apabila kementerian dan agensi memberikan perhatian sewajarnya terhadap proses kerja serta penyelarasan.

Antaranya ialah pendaftaran bagi Rumah Madani di Bandar Madani, Bukit Jalil dan bantuan RM1,000 kepada setiap pemandu teksi.

Beliau turut meminta pihak berkuasa berkaitan mempercepat proses kelulusan bagi pembangunan 10,000 unit kediaman asrama mahasiswa, di Universiti Malaya.

Anwar berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mengadakan mesyuarat bersama dengan ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah, bagi memantau pelaksanaan langkah kerajaan.

Pada 9 Oktober, Anwar membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan"Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion.

Selain itu, RM25 bilion pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta dan RM14.2 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan serta syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).- Bernama