Dihalau hadiri program Kampung Angkat Madani, Farzana enggan panjangkan isu

Iklan
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir (kanan).

MELAKA – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir enggan memanjangkan isu dirinya dihalau ketika hadiri program Kampung Angkat Madani di sebuah masjid di Bukit Rambai yang tular Ahad lalu.

Sebaliknya, Farzana bersedia bertemu wanita yang mengarahkannya beredar bagi menjernihkan keadaan dan mengelakkan insiden itu terus menjadi pertikaian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian itu sedikit sebanyak membuatkannya sedih dan kecewa apabila kehadirannya sebagai anak jati Bukit Rambai dipersoalkan atas dakwaan membawa unsur politik ke dalam masjid.

Katanya, hadir dengan berbaju kurung tanpa memakai sebarang logo parti atau membawa bahan kempen.

Iklan

"Tapi puan itu tetap berkeras dan keadaan menjadi agak tegang sehingga saya ditengking di hadapan orang ramai. Saya bersetuju yang masjid bukan tempat untuk kempen politik. Saya sangat setuju dan saya tak pernah mempertikaikan," katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun, Farzana meminta orang ramai supaya tidak menghina wanita berkenaan susulan insiden itu yang mendapat perhatian di media sosial.

Iklan

Katanya, tidak mahu kejadian tersebut dijadikan alasan untuk menyerang mana-mana individu, sebaliknya berharap semua pihak mengambil iktibar demi mengekalkan keharmonian masyarakat.

"Saya cuma berharap selepas ini kita dapat mengendalikan perbezaan dengan lebih baik tanpa kita perlu tengking sesiapa sekalipun.

"Kerana pada akhirnya, kita semua nak perkara yang sama iaitu keharmonian dalam masyarakat," katanya.

Sementara itu, wanita berkenaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Rambai, Surina Shamsuddin menjelaskan tindakannya meminta Farzana meninggalkan program itu bertujuan mengelakkan sebarang unsur politik daripada mencemari penganjuran berkenaan.

Menurut Surina, program Kampung Angkat Madani itu dilaksanakan oleh JPKK dengan penyelarasan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Rambai, Surina Shamsuddin

Beliau berkata, sebelum program itu berlangsung, pihaknya telah berbincang dengan ICU dan dimaklumkan bahawa tiada mana-mana parti politik akan dilibatkan dalam penganjuran berkenaan.

Surina berkata, beliau mengambil tindakan selepas melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa memaparkan imej dan logo parti berada di kawasan sekitar masjid.

"Saya bercakap baik dengannya dan meminta dia beredar kerana tidak mahu ada isu politik dalam program ini. Selepas itu, dia meninggalkan kawasan berkenaan.

"Tak sampai 10 minit kemudian, tiba-tiba saya tengok bapa dan bapa saudara Farzana datang dalam keadaan kecoh dari pintu pagar sebelum berjumpa dengan ahli jawatankuasa (AJK) saya serta sidang kampung yang juga merangkap JKKK.

"Apabila nampak saya, bapa Farzana iaitu Mohd Nasir meluru ke arah saya sehingga berlaku kekecohan yang memaksa saya meninggikan suara untuk mempertahankan diri," katanya.

Surina turut mempersoalkan rakaman video yang tular kerana mendakwa ia hanya memaparkan sebahagian daripada kejadian berkenaan.

"Ada yang rakam, saya tak pasti siapa yang rakam tapi kenapa rakaman itu sekerat saja? Sebab masa bapa dia datang, bapa dia keluarkan kata kesat ke atas saya.

"Saya kata kenapa nak bodohkan saya? Ini program saya, saya tak nak ada politik. Bapa dia marah-marah pada saya. Nada saya memang tinggi masa itu, sebab saya nak menegakkan kebenaran," katanya.

End