Keluarga rayu dana RM105,000 untuk pembedahan jantung anak

Iklan
Nur Anis (tengah) bersama ibu bapanya serta kakitangan One Hope Charity & Welfare.

BUKIT MERTAJAM – Sepasang suami isteri dari Gurun, Kedah merayu bantuan orang ramai bagi mengumpul dana RM105,000 untuk membiayai pembedahan jantung anak tunggal mereka, Nur Anis Zulaikha Mohd Shafizuan, 7 yang menghidap penyakit jantung kongenital sianotik sejak lahir.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Shafizuan Rodzi, 31 berkata, pembedahan berkenaan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan anaknya berdepan risiko komplikasi serius termasuk kegagalan jantung.

Iklan
Iklan

Nur Anis memerlukan RM105,000 untuk pembedahan jantungnya.

Menurutnya, kos keseluruhan pembedahan itu dianggarkan RM120,000 namun keluarga berkenaan hanya mampu menyediakan RM14,500 selepas berusaha mengumpul wang bagi menampung kos rawatan tersebut.

Iklan

Mohd Shafizuan menambah, penyakit berkenaan dikesan sejurus anaknya dilahirkan apabila tubuh kanak-kanak itu bertukar kebiruan ketika kali pertama menyusu.

Jelasnya, Nur Anis segera diberikan bantuan oksigen ketika itu sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia mengalami beberapa kecacatan struktur jantung.

Iklan

“Anak saya dilahirkan normal tetapi tubuhnya menjadi kebiruan semasa kali pertama menyusu dan dia segera diberikan bantuan oksigen ketika itu..

"Anak saya kemudiannya didiagnosis dengan Double Outlet Right Ventricle (DORV), Univentricular Heart Function, Multiple Ventricular Septal Defect (VSD) dan Atrial Septal Defect (ASD)," katanya lagi.

Mohd Shafizuan berkata, keadaan itu menyebabkan tubuh anaknya mengalami kekurangan oksigen sehingga mengakibatkan perubahan warna kulit menjadi kebiruan.

Menurutnya, disebabkan struktur jantung yang tidak normal, Nur Anis perlu menjalani pembedahan secara berperingkat bagi memperbaiki aliran peredaran darah serta fungsi jantung dan paru-parunya.

"Dua pembedahan peringkat awal telah dilakukan ketika dia baru dilahirkan dan sekali lagi ketika berusia setahun.

"Bagaimanapun anak saya kini perlu menjalani pembedahan peringkat ketiga iaitu prosedur Fontan bagi memperbaiki peredaran darah dan memastikan bekalan oksigen mencukupi ke seluruh tubuh," ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya bersetuju membantu mengumpul dana RM105,000 bagi membiayai pembedahan kanak-kanak berkenaan selepas meneliti permohonan keluarganya.

Tambah Sui Hau, pihaknya turut membantu mengumpul dana bagi membiayai dua pembedahan terdahulu yang dijalani Nur Anis.

“Bapanya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan sederhana manakala ibunya, Nor Syamimi Abu Hassan, 31 tidak bekerja.

“Selepas meneliti permohonan keluarga itu, kami memutuskan untuk mengadakan kutipan dana RM105,000 bagi membantu Nur Anis menjalani pembedahan berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435, atau melayari laman sesawang onehopecharity.org.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada One Hope Charity & Welfare menerusi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.