JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan punca kegagalan melayakkan diri ke separuh akhir acara keirin pada Kejohanan Dunia di Shanghai, China baru-baru ini.
Azizulhasni berkata, sasaran peribadinya dalam acara keirin adalah untuk melangkah ke final tetapi dua insiden himpitan ketika perlumbaan suku akhir menjejaskan peluangnya untuk mara ke pusingan seterusnya.
Menurutnya, cabutan di kedudukan kelima di suku akhir memaksanya memulakan perlumbaan dari belakang sebelum memilih strategi melakukan pecutan ketika memasuki pusingan terakhir.
“Bagaimanapun, berlaku sekali lagi himpitan besar di selekoh ketiga yang merencatkan kayuhan dan kelajuan saya sehingga menyebabkan saya terkandas di kedudukan terakhir,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sekiranya dua insiden itu tidak berlaku, khususnya himpitan besar di selekoh ketiga, beliau yakin mampu meluru ke hadapan untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Bagaimanapun, Azizulhasni mengakui insiden sedemikian adalah sebahagian daripada lumrah acara keirin yang menyaksikan enam pelumba bersaing serentak dengan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Azizulhasni berjaya melepasi sasaran peribadinya dalam acara pecut individu apabila menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan kelapan daripada 33 pelumba dengan catatan masa 9.564 saat.
Beliau berkata, kemenangan pada pusingan pertama ke atas David Ortego dari Colombia dicapai dengan selesa sebelum terpaksa akur dengan kekalahan kepada Harry Ledingham dari Great Britain dalam perlumbaan pusingan kedua yang berlangsung sengit.
Menurutnya, cabaran utama di Kejohanan Dunia kali ini adalah untuk mengekalkan tahap kekuatan dan kecergasan pada tahap tertinggi selepas mengharungi musim yang panjang serta mencabar.
“Sudah tentu prestasi dan persiapan untuk Kejohanan Dunia kali ini bukanlah yang terbaik jika dibandingkan dengan pencabar dari negara lain.
“Namun begitu, secara keseluruhan saya mencapai objektif utama di sini, iaitu membawa pulang sebanyak mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28),” katanya.