KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Carven Ong memperkenalkan platform baharu bagi mengetengahkan bakat kreatif tempatan menerusi Kuala Lumpur Fashion Festival 2026 (KLFF 2026) yang turut membawa mesej kesedaran kanser payudara.
Festival sulung yang diasaskan beliau itu menghimpunkan beberapa nama besar industri fesyen tanah air, selain menjalin kerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara sepanjang Oktober.
Berlangsung dari 6 hingga 18 Oktober di Intermark Mall, festival berkenaan menampilkan hasil kreativiti pereka terkemuka termasuk Carven Ong, Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Radzuan Raziwill dan Celeste Thoi.
Penganjurannya bukan sekadar meraikan rekaan dan ketukangan tempatan, malah bertujuan menyediakan platform berterusan untuk mengembangkan bakat kreatif Malaysia serta memperkenalkan mereka kepada khalayak lebih luas.
Pengurus Besar Pemasaran Intermark Mall, Evelyn Woon berkata, pihaknya menyambut baik visi Carven untuk mewujudkan sebuah festival yang menggabungkan kreativiti, warisan dan peluang kepada penggiat industri fesyen.
"Apabila Carven berkongsi visinya mengenai Kuala Lumpur Fashion Festival, kami melihat peluang untuk menyokong sebuah platform yang meraikan kreativiti dan ketukangan Malaysia.
"Pada masa sama, ia membuka peluang kepada pereka serta bakat industri untuk mendekati khalayak baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Evelyn, kerjasama tersebut seiring dengan inisiatif Hail Heritage yang dilaksanakan Intermark Mall bagi meraikan warisan, tradisi dan kisah masyarakat Malaysia.
Sementara itu, kerjasama KLFF 2026 dengan MAKNA turut menyaksikan ruang atrium pusat beli-belah berkenaan dihiasi warna merah jambu sepanjang festival bagi menyokong Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Antara pengisian utama yang diumumkan ialah pertunjukan fesyen pada 15 Oktober, melibatkan pereka yang mengambil bahagian serta persembahan khas penyanyi Atilia Haron.
Festival itu turut mendapat sokongan Poh Kong yang menggabungkan rekaan fesyen kontemporari Malaysia dengan seni pertukangan barang kemas sempena ulang tahun ke-50 jenama berkenaan.
Penganjuran KLFF 2026 sekali gus memperlihatkan usaha menghubungkan dunia fesyen dengan kegiatan kemasyarakatan, di samping mewujudkan ruang baharu untuk kreativiti tempatan terus berkembang.