Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu bermula RM125

Iklan
Darwis (kanan) pada majlis pengumuman struktur tambang ECRL menjelang operasi komersial perkhidmatan itu yang disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026. Foto : Sinar Harian / Asril Aswandi Mohd Syukur.

GOMBAK - Tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu ditetapkan bermula RM125 sehala, manakala perkhidmatan Ekspres bermula RM147.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kadar tambang itu diluluskan Jemaah Menteri pada 16 Oktober lalu menerusi mekanisme tambang dinamik.

Iklan
Iklan

"Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang Transit bermula RM95, manakala Ekspres RM110," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman struktur tambang ECRL menjelang operasi komersial perkhidmatan itu yang disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026 di Terminal Bersepadu Gombak di sini pada Isnin.

Iklan

Darwis ketika sidang media pengumuman struktur tambang ECRL di Gombak pada Isnin. Foto : Sinar Harian / Asril Aswandi Mohd Syukur.

Sementara itu, perjalanan Gombak-KotaSAS sejauh 209 kilometer ditawarkan pada tambang permulaan RM60 bagi Transit dan RM68 bagi Ekspres.

Iklan

Kadar permulaan sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.

Darwis berkata, mekanisme tambang dinamik membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk, sekali gus memberi fleksibiliti kepada pengguna merancang perjalanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Menurutnya, perkhidmatan Transit akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala Ekspres memberi tumpuan kepada empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

"Perjalanan Ekspres dari Gombak ke Kota Bharu dijangka mengambil masa sekitar empat jam, berbanding sehingga lima jam bagi Transit," katanya.

Dalam pada itu, Jemaah Menteri turut meluluskan diskaun 50 peratus untuk kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesara kerajaan.

"Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula akan menikmati diskaun sebanyak 40 peratus," katanya.

Penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November ini, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026, tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kadar tambang, jadual perjalanan dan penjualan tiket menerusi laman sesawang rasmi ECRL di www.ecrl.com.my.