GEORGE TOWN – Sebanyak 280 projek pembangunan Persekutuan bernilai keseluruhan RM33.22 bilion diluluskan di Pulau Pinang di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 44 projek baharu dan 236 projek sambungan diluluskan dengan peruntukan RM2.68 bilion bagi pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan pada 2027.
Menurutnya, projek baharu yang diluluskan melibatkan kos keseluruhan RM578.29 juta dengan peruntukan RM63.71 juta bagi tahun hadapan.
"Daripada jumlah projek baharu itu, empat merupakan projek keutamaan yang dikemukakan Kerajaan Pulau Pinang pada Februari lalu, membabitkan kos keseluruhan RM96.95 juta.
"Bagaimanapun, peruntukan bagi keempat-empat projek berkenaan pada 2027 berjumlah RM2.2 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Kon Yeow lagi, empat projek itu merangkumi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kelang Ubi di Seberang Perai Tengah (SPT), projek menaik taraf Jalan Bukit Tambun FT149 dari persimpangan Jalan Persekutuan FT001 ke persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.
Katanya, turut diluluskan ialah RTB Sungai Perai Fasa Dua di SPT serta projek pemetaan dan pembangunan sumber air bawah tanah di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, satu lagi projek keutamaan negeri, Penang STEM Talent Blueprint telah diluluskan lebih awal di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13 dengan kos keseluruhan RM12.3 juta.
"Kerajaan Pulau Pinang merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas pertimbangan dan kelulusan projek pembangunan berkenaan.
"Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Kon Yeow menambah, usaha sama itu turut merangkumi merealisasikan penubuhan Penang Technology Financial Centre (PTFC) yang dirancang sebagai pusat kewangan teknologi negara.
Jelasnya, PTFC dijangka menyumbang RM12.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyokong lebih 71,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun akan datang.