KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong mempertikaikan profesionalisme Rifdean Masdor selepas petarung negara itu hadir tanpa pasukan sokongan sebelum tewas kepada Nadaka Yoshinari.
Chatri berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu Rifdean tidak membawa jurulatih, rakan sepasukan atau cornerman bagi mengiringinya sepanjang minggu pertarungan di ONE Samurai 4 di Tokyo, Jepun pada Sabtu lalu.
Menurutnya, persiapan sedemikian jauh daripada standard profesional yang ditetapkan organisasi itu, terutama bagi atlet yang bertanding merebut gelaran dunia.
“Dalam kes Rifdean, saya juga mendapat tahu bahawa persiapannya langsung tidak profesional. Dia datang tanpa cornerman, tanpa rakan sepasukan dan tanpa sesiapa pun untuk memantaunya sepanjang minggu pertarungan. Tiada jurulatih, langsung tiada sesiapa.
“Saya sangat terkejut apabila mendengar perkara itu,” katanya ketika menjawab soalan wartawan mengenai kemungkinan memperketat prosedur susulan isu hidrasi yang berulang.
Chatri turut membandingkan persiapan Rifdean dengan juara dunia seperti Jonathan Haggerty dan Nadaka yang menurutnya sentiasa memenuhi keperluan ditetapkan serta hadir dengan persiapan lengkap.
Beliau menegaskan, kegagalan memenuhi syarat, khususnya dalam pertarungan merebut gelaran dunia, boleh menyebabkan seseorang atlet terpaksa menunggu lama sebelum mendapat peluang seterusnya.
Lebih mengejutkan Chatri, Rifdean dilaporkan meminta peluang merebut gelaran sekali lagi sejurus selepas tewas menerusi kalah mati kepada Nadaka.
“Peluangnya langsung tiada! Zero! Anda perlu bersikap profesional,” katanya.
Rifdean tewas menerusi Technical Knockout (TKO) pada minit pertama pusingan kedua selepas Nadaka melepaskan tendangan kiri ke bahagian leher dan kepala dalam pertarungan bagi gelaran dunia Muay Thai atomweight ONE Championship itu.
Rifdean sebelum itu gagal memenuhi had berat badan dalam tempoh yang ditetapkan, menyebabkan dia tidak layak merampas gelaran dunia meskipun pertarungan diteruskan.