PENGALAMAN melihat anak sendiri menghidap ekzema menjadi titik permulaan buat seorang wanita Jepun mendalami dunia pemakanan sebelum akhirnya berjaya membina perniagaan tofu di Malaysia.
Pengasas Ooedo Tofu, Mariko Ejima berkata, keinginannya untuk memahami bidang pemakanan dengan lebih mendalam mendorong beliau mempelajari fermentasi, makrobiotik dan makanan tradisional.
Usaha itu tidak sia-sia apabila beliau mula percaya bahawa tofu yang dihasilkan dengan betul merupakan antara makanan yang baik untuk kesihatan, sekali gus mendorongnya meneroka bidang pembuatan tofu secara lebih serius.
Mesra disapa Mariko, wanita berusia 47 tahun itu berkata, keputusan membina perniagaan di negara orang merupakan antara langkah terbesar dalam kehidupannya sejak berpindah ke Malaysia 14 tahun lalu.
"Apabila berpindah ke Malaysia, saya belajar bahasa Inggeris. Kemudian, apabila mencecah usia 40 tahun, saya merasakan sudah tiba masanya untuk menceburi bidang perniagaan," katanya ketika ditemui Sinar Bisnes, baru-baru ini.
Jelasnya, beliau kini menganggap Malaysia sebagai rumah sendiri dan bukan lagi negara asing, sekali gus memperkukuhkan tekadnya untuk membina sesuatu yang bermakna di sini.
"Kami memilih Malaysia kerana lokasinya tidak terlalu jauh dari Jepun. Jika saya pulang ke Jepun, selepas dua minggu saya akan mula merindui Malaysia," katanya.
Menurut Mariko, idea untuk menjalankan perniagaan tofu mula diteroka lebih sedekad lalu apabila beliau menjemput pembuat tofu berpengalaman dari Jepun untuk menguji kesesuaian sumber air di Malaysia serta menjalankan percubaan penghasilan tofu.
Masa panjang, perlu ketelitian
Katanya, proses menghasilkan tofu memerlukan komitmen yang tinggi kerana mengambil masa yang panjang dan memerlukan ketelitian pada setiap peringkat.
Menurutnya, rutin hariannya bermula seawal jam 2 pagi bagi mempelajari keseluruhan proses secara terperinci ketika menjalani latihan pembuatan tofu di Jepun termasuk aspek teknikal untuk memastikan tofu yang dihasilkan mencapai standard kualiti yang tinggi.
"Saya belajar di empat atau lima tempat yang berbeza dan menjalani latihan di sana. Setiap tempat mengambil masa kira-kira seminggu.
"Ini kerana proses di kilang tofu berskala besar dan kecil mempunyai kaedah yang berbeza," katanya.
Tambah Mariko, membawa kepakaran pembuatan tofu dari Jepun ke Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah.
Perbezaan persekitaran dan suhu air memerlukan proses pengeluaran disesuaikan, termasuk penggunaan sistem penyejukan ketika merendam kacang soya bagi mendapatkan hasil yang optimum.
Selain itu, faktor harga turut menjadi cabaran utama kerana produk yang dihasilkan berada dalam segmen premium berbanding tofu tempatan yang lazimnya dijual pada harga lebih rendah.
Ooedo Tofu menggunakan kacang soya tulen yang ditanam secara tradisional dan diimport dari Jepun selain nigari semula jadi dari Okinawa sebagai bahan pembeku.
Penghasilan yang dilakukan secara teliti tanpa penggunaan bahan pengawet turut menjadi sebahagian daripada pendekatan syarikat itu untuk mengekalkan kesegaran produk.
"Apabila menghasilkan tofu ini, kami membawa masuk bahan mentah premium dari Jepun. Harga bahan mentah dan kos import juga lebih tinggi.
"Justeru, penetapan harga merupakan cabaran yang sangat besar bagi kami di sini," katanya.
Mariko berkata, syarikatnya kini menawarkan 11 produk tofu termasuk tofu lembut, tofu pejal, tofu edamame, tofu bijan hitam, tofu yuzu, tauhu goreng dan kulit tofu (yuba).
Kapasiti pengeluaran syarikat mencecah kira-kira 1,000 unit sehari bergantung kepada jenis produk dan permintaan pasaran.
Ketika ini, produknya dibekalkan kepada lebih 20 restoran termasuk restoran santapan mewah selain dijual menerusi beberapa saluran runcit di Malaysia dan Singapura.
"Kami menyasarkan untuk meluaskan pasaran ke Johor tahun hadapan dan sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi menembusi pasaran Abu Dhabi serta Dubai.
"Selain itu, saya juga mahu mengembangkan penggunaan tofu kepada produk lain seperti kek keju, donat dan ais krim berasaskan soya," katanya.