Rakyat marah desak tindakan komprehensif

Iklan
Penunggang motosikal meredah kepulan asap akibat kebakaran di Kampung Sungai Tabuk, Kabupaten Banjar, Kalimantan Selatan. Foto AFP

KEMARAHAN terhadap krisis jerebu rentas sempadan semakin memuncak apabila penduduk Asia Tenggara menuntut tindakan lebih tegas bagi menghentikan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang menurut mereka telah menjejaskan kesihatan serta kehidupan jutaan penduduk di rantau ini.

Di sebalik tekanan negara jiran, rakyat Indonesia sendiri turut mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan, manakala Singapura mula mengeluarkan notis kepada syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran penyumbang kepada jerebu.

Iklan
Iklan

Mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas kelihatan samar dalam keadaan berjerebu. Foto AFP

Perkembangan itu mencerminkan tuntutan yang semakin kuat supaya krisis berulang berkenaan tidak lagi ditangani sekadar melalui kenyataan dan rundingan sebaliknya menerusi penguatkuasaan serta tindakan yang membawa hasil nyata.

Iklan

Rakyat Indonesia saman kerajaan

Di Kalimantan Barat, sekumpulan penduduk dan pertubuhan masyarakat sivil menerusi gabungan Nafas Kalbar memfailkan saman terhadap Presiden Prabowo Subianto dan 26 pegawai kerajaan dan pihak berkuasa lain.

Iklan

Mereka mendakwa kecuaian dalam menguruskan dan mencegah kebakaran hutan menyebabkan krisis kesihatan awam serta gangguan kehidupan berpanjangan.

Antara tuntutan mereka ialah pengisytiharan darurat nasional, perkhidmatan kesihatan percuma kepada penduduk terjejas dan siasatan menyeluruh terhadap syarikat yang disyaki melakukan pembakaran.

Seorang plaintif, Sisilius Rami berkata, penduduk hanya mahu menikmati udara bersih dan persekitaran yang sihat.

Tindakan undang-undang itu mencerminkan kekecewaan rakyat Indonesia, yang turut menyuarakan bantahan menerusi gelombang protes di beberapa lokasi di seluruh negara.

Singapura keluarkan notis kepada tujuh syarikat

Sementara itu, Singapura baru-baru ini mengambil langkah lebih tegas apabila Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) mengeluarkan notis langkah pencegahan kepada tujuh syarikat yang mempunyai tanah atau konsesi di Indonesia.

Siasatan awal menunjukkan asap daripada kebakaran di kawasan berkaitan berkemungkinan bergerak ke Singapura.

Syarikat terbabit diarahkan mengambil langkah memadamkan kebakaran, menghentikan atau tidak memulakan aktiviti pembakaran serta mengemukakan pelan tindakan bagi mencegah kebakaran daripada berulang.

Jerebu toksik terus menyelubungi Singapura dan mencatatkan tahap sangat tidak sihat sehingga Ahad. Foto AFP

NEA turut menegaskan tindakan penguatkuasaan lanjut boleh diambil terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Langkah itu dilaksanakan menerusi Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura yang membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab walaupun aktiviti mereka berlaku di luar negara.

Singapura pernah mengambil tindakan serupa pada 2015.

Krisis serantau perlukan penyelesaian konkrit

Kebakaran yang melanda Sumatera dan Borneo telah mencetuskan pencemaran udara di beberapa negara, termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste.

Malaysia turut mendesak kerjasama serantau dipertingkatkan, manakala beberapa ahli Parlimen menyuarakan kekecewaan terhadap kesan jerebu yang terpaksa ditanggung rakyat sehingga hari ini.

Krisis ini sekali lagi menguji kerjasama ASEAN dalam menangani pencemaran rentas sempadan.

Bagi penduduk yang terjejas, tuntutan mereka jelas iaitu kebakaran mesti ditangani, syarikat yang bersalah perlu dikenakan tindakan dan kerajaan mesti memastikan tragedi sama tidak terus berulang.

Tanpa penguatkuasaan yang tegas dan konsisten, rakyat di rantau ini berisiko terus berdepan ancaman jerebu rentas sempadan yang berulang saban tahun.

Kegagalan membendung pembakaran terbuka dan kebakaran tanah gambut setiap musim kemarau bukan sahaja memanjangkan krisis pencemaran udara malah terus mengancam kesihatan awam dan menjejaskan kegiatan ekonomi di Asia Tenggara.