Membaca kemajuan Hakim Danish

Iklan
Hakim Danish - Foto ZK Racing

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli sudah membuktikan kemampuan untuk mencabar kelompok hadapan dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

Pada usia 19 tahun, Hakim Danish menunjukkan kelajuan untuk bersaing di pentas dunia. Persoalannya kini, sejauh mana kemampuan itu dapat diterjemahkan kepada prestasi yang lebih konsisten?

Iklan
Iklan

Petunjuk awal dapat dilihat menerusi dua pencapaian penting pelumba AEON Credit - MT Helmets - MSI berkenaan musim ini, iaitu menaiki podium di Mugello, Itali sebelum meraih kemenangan pertama di Brno.

Kedua-dua keputusan itu membuktikan dia bukan sekadar mampu mengutip mata, malah berupaya bersaing untuk kedudukan teratas. Namun, untuk menilai kemajuannya secara menyeluruh, prestasi sepanjang musim perlu dilihat melangkaui dua pencapaian tersebut.

Iklan

Di Grand Prix (GP) Indonesia di Mandalika, Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 walaupun terpaksa bermula dari petak belakang susulan penalti.

Dia turut mencatat keputusan positif dengan menduduki tempat keenam di Catalunya, manakala di Amerika Syarikat dan Sepanyol, masing-masing di tempat ke-12.

Iklan

Keupayaan bangkit daripada kedudukan kurang menguntungkan itu memperlihatkan daya saing yang wajar diberikan perhatian, terutama bagi pelumba yang masih menyesuaikan diri dengan tuntutan musim pertama di Moto3.

Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa, menyifatkan prestasi Hakim Danish sebagai perkembangan positif bagi seorang pelumba baharu (rookie).

“Lebih-lebih lagi dia berupaya mengutip mata dan memberikan saingan dari belakang dalam beberapa litar untuk mendapatkan mata.

“Itu sesuatu yang perlu ditabik dan diberikan sokongan kerana dia mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.

Pengiktirafan itu memberi gambaran kekuatan Hakim Danish, khususnya keupayaannya untuk terus bersaing meskipun berdepan kedudukan permulaan yang tidak memihak kepadanya.

Bagaimanapun, rekod perlumbaannya turut memperlihatkan ruang yang masih perlu diperbaiki. Dia menduduki tempat ketujuh di Assen, ke-12 di Sachsenring dan ke-12 di Aragon sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 di Misano, kesembilan di Austria dan ke-12 di Jepun.

Turun naik keputusan itu menunjukkan bahawa kelajuan dan semangat juang sahaja belum menjamin kedudukan yang lebih baik secara berterusan. Hakim Danish perlu memperkukuh keupayaan untuk bermula dalam kelompok kompetitif dan mengekalkan rentak sepanjang perlumbaan.

Dalam Moto3 yang sengit, kedudukan ketika sesi kelayakan boleh mempengaruhi peluang pelumba untuk bersaing di hadapan. Keupayaan memintas dari kelompok belakang memang satu kelebihan, tetapi mendapatkan kedudukan permulaan yang lebih baik dapat mengurangkan kebergantungan kepada strategi mengejar pelumba lain.

Peningkatan ketika sesi kelayakan dan konsistensi sepanjang perlumbaan menjadi antara aspek penting dalam perkembangan seterusnya.

Sadek turut melihat disiplin dan fokus Hakim Danish terhadap kerjayanya sebagai asas yang baik untuk kemajuan jangka panjang.

“Hakim Danish seorang yang fokus dengan profesionnya dan dia sudah buktikan apa yang boleh dilakukan di trek perlumbaan. Lebih banyak lagi yang dia akan berikan kepada peminat MotoGP Malaysia,” katanya.

Baki lima perlumbaan di Australia, Malaysia, Qatar, Portugal dan Valencia menjadi peluang seterusnya untuk pelumba yang menduduki kedudukan kesembilan dengan 107 mata mengukuhkan pencapaiannya.

Kemenangan di Brno sudah membuktikan bahawa dia mempunyai kemampuan untuk berada di puncak.

Namun, kemajuan sebenar perlu dinilai menerusi keupayaannya mengulangi prestasi kompetitif di litar berbeza, mengurangkan turun naik keputusan dan menjadikan kutipan mata sebagai pencapaian yang lebih konsisten.

*Zuraimee Zainal ialah penyunting Sinar Harian