Budak 10 tahun terjebak salah laku seksual: Lindungi anak sebelum terlambat

Iklan
Isu kanak-kanak seawal usia 10 tahun terjebak dalam salah laku seksual bukan perkara yang boleh dipandang sebelah mata. Foto hiasan

SUATU ketika dahulu, kanak-kanak berusia 10 tahun sibuk bermain, belajar dan menikmati zaman kanak-kanak mereka, tetapi hari ini masyarakat berdepan dengan realiti yang jauh lebih membimbangkan apabila kanak-kanak seusia itu mula dikaitkan dengan salah laku seksual dan pendedahan kepada dunia orang dewasa.

Jangan terkejut atau nafikan malah tidak boleh menganggap perkara itu mustahil kerana hakikatnya ia kini sedang berlaku.

Iklan
Iklan

Sepertimana yang didedahkan oleh Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay Kanak-kanak seawal usia 10 tahun dikesan mula terbabit dalam salah laku seksual, manakala sebahagian remaja pula terjerat dalam kegiatan pengedaran dadah sebagai keldai dadah.

Perkara tersebut berdasarkan pengalamannya ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan

Persoalannya, di manakah ibu bapa ketika anak-anak mula terdedah kepada kandungan tidak sesuai, berinteraksi dengan individu mencurigakan dan mempelajari perkara yang belum mampu mereka fahami secara matang?

Jangan terlalu sibuk mengejar kerjaya atau menguruskan urusan harian sehingga terlupa bahawa anak-anak juga memerlukan perhatian, pemantauan dan bimbingan yang konsisten.

Iklan

Menyediakan telefon pintar yang mahal bukan bukti ibu bapa itu menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk mereka.

Ini kerana gajet bukan pengasuh dan tempat yang selamat untuk anak-anak meneroka dunia tanpa batasan.

Oleh itu, kawalan penggunaan gajet mesti dilaksanakan dengan tegas melalui penetapan had masa skrin, pemantauan aplikasi, kawalan kandungan, pemeriksaan tetapan privasi dan larangan berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali tanpa langkah keselamatan sewajarnya.

Begitu juga dengan had umur penggunaan media sosial yang tidak sepatutnya dipandang remeh kerana sekatan umur, penguatkuasaan platform dan pemantauan ibu bapa merupakan antara langkah penting untuk mengurangkan risiko pendedahan awal kepada persekitaran digital yang tidak sesuai.

Kita perlu tegas terhadap perbuatan yang memudaratkan, tetapi pada masa yang sama mesti memastikan kanak-kanak yang terlibat dinilai dengan sewajarnya, mangsa dilindungi dan sebarang unsur penderaan atau eksploitasi ditangani dengan segera.

Pihak sekolah, penjaga dan masyarakat juga tidak boleh sekadar menunggu sehingga sesuatu kejadian menjadi tular.

Menyediakan saluran aduan yang selamat dan pendidikan berterusan jauh lebih penting daripada kecaman selepas sesuatu insiden berlaku.

Jangan tunggu anak menjadi mangsa, jangan tunggu anak terlibat dalam masalah dan jangan tunggu pihak berkuasa mengetuk pintu rumah barulah mahu mengambil tahu tentang kehidupan mereka.

Kesimpulannya, isu kanak-kanak seawal usia 10 tahun terjebak dalam salah laku seksual bukan perkara yang boleh dipandang sebelah mata kerana ia menuntut tindakan segera, pemantauan yang konsisten dan kerjasama semua pihak.