RAWANG - Taktik membeli minyak diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak berhampiran menggunakan 'fleet card' sebelum dipindahkan dan disimpan secara haram di sebuah stor di sini terbongkar dalam serbuan pada Ahad.
Serbuan kira-kira jam 10.30 pagi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu membawa kepada rampasan 11,900 liter minyak diesel bersubsidi dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM82,482.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, operasi itu dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, serbuan di sebuah stor tidak bernombor itu dilakukan hasil maklumat dan risikan serta pengesanan aktiviti disyaki penyelewengan diesel bersubsidi di kawasan berkenaan.
"Hasil serbuan, kita menyita 11,900 liter minyak diesel bersubsidi bersama pelbagai aset logistik yang dipercayai digunakan bagi kegiatan penyelewengan.
"Antara yang dirampas ialah sebuah lori tangki, sebuah lori jenis bonded, 12 tangki IBC tambahan, tiga set hos getah penyambung dan sebuah pam penyedut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 68 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, kedua-dua lelaki itu masing-masing dipercayai bertugas sebagai penjaga stor dan pemandu lori tangki.
Muhamad Hanif berkata, modus operandi sindiket dikesan menggunakan taktik pemalsuan dan penyalahgunaan 'fleet card' untuk mendapatkan bekalan diesel bersubsidi.
"Pihak ketiga akan membeli diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak berhampiran menggunakan 'fleet card' sebelum minyak berkenaan dipindahkan terus ke dalam lori pembeli.
"Minyak yang dikumpulkan kemudian dibawa dan disimpan di stor haram di Rawang sebelum disedut keluar menggunakan lori tangki untuk dihantar dan dijual kepada pihak industri atau pembeli lain," katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat, termasuk rantaian pengedaran diesel berkenaan.
"Kes turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
"Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta 122 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama," katanya.
Bagi kesalahan berikutnya, jelasnya, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Syarikat atau badan berkanun boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya," katanya.
Beliau menegaskan KPDN Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
"KPDN Selangor akan terus menggerakkan anggota penguat kuasa menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membendung kegiatan haram ini sekali gus menyelamatkan wang subsidi negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN," katanya.