KOTA BHARU – Lebih 1,000 penuntut Kelantan yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan menjalani kuliah seperti biasa susulan insiden letupan di negara itu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum perkembangan semasa penuntut di negara berkenaan menerusi komunikasi dengan pihak berkaitan.
Menurut beliau, penuntut turut diminta sentiasa berhubung dengan kedutaan Malaysia bagi mendapatkan maklumat sahih serta mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Terdahulu, media melaporkan seramai 19 orang maut dan 364 lagi cedera dalam serangan kumpulan Houthi Yaman ke atas lapangan terbang Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha.
Bagaimanapun, Malaysia Airlines dilaporkan menyambung semula operasi penerbangan berjadual dari negara itu ke Jeddah serta Madinah, Arab Saudi bermula Sabtu, selepas penilaian keselamatan dan risiko selesai.
Wan Roslan memberitahu, kerajaan negeri mengambil iktibar daripada pengalaman menguruskan penuntut Kelantan ketika krisis di Mesir sebelum ini, termasuk tindakan membawa pulang penuntut apabila diarahkan kerajaan.
Ujar beliau, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa serta memastikan kebajikan penuntut Kelantan di luar negara diberikan perhatian.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, jumlah penuntut Kelantan yang melanjutkan pengajian di luar negara kini melebihi 1,000 orang, termasuk di Arab Saudi, Mesir dan Jordan.
Tambah beliau, pertambahan seramai 147 penuntut direkodkan bagi tahun ini yang mana 107 daripadanya merupakan penuntut baharu semester pertama.
"Antara lokasi pengajian penuntut Kelantan ialah Jordan yang menempatkan kira-kira 200 penuntut, selain Mesir dan beberapa negara lain.
"Kerajaan negeri turut mempunyai tiga kakitangan yang menguruskan hal ehwal penuntut di luar negara bagi membantu menyelaras kebajikan serta keperluan mereka," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, penuntut diingatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan mematuhi nasihat keselamatan pihak berkuasa sepanjang berada di luar negara.