KOTA BHARU - Polis Kelantan membuka dua kertas siasatan berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial dan komuniti Rohingya di negeri ini serta menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berkaitan isu berkenaan, iaitu di bawah Seksyen 341/268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff memberitahu, sebanyak 199 kes jenayah membabitkan pelarian Rohingya direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.
Jelasnya, angka berkenaan merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
"Pada masa sama, pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) bertujuan merekodkan identiti serta data biometrik pelarian secara sistematik.
Beliau menegaskan, pihaknya akan meneruskan siasatan secara profesional serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Tambahnya, orang ramai turut diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"PDRM komited memelihara ketenteraman awam, menegakkan undang-undang dan memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara," katanya.