Jerebu: Penangguhan SPM, UPKK di Perak akan dibincang jika perlu - Exco

Iklan
Khairudin (kanan) melawat reruai pameran selepas menyempurnakan Himpunan Mahabbah Pendekar Negeri Perak di Dewan Utama Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di Ipoh pada Ahad.

 

IPOH – Sebarang keputusan terhadap penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) di Perak susulan keadaan jerebu akan dibincangkan secara bersama oleh agensi berkaitan sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian.

Iklan
Iklan

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, keputusan itu perlu mengambil kira keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta memastikan murid dapat menduduki peperiksaan tanpa berdepan masalah kehadiran.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sentiasa mengemas kini status IPU di empat stesen pemantauan di negeri ini bagi menilai keadaan semasa.

Iklan

“Perkara sama akan diperhalusi oleh agensi berkaitan termasuk KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia), JPN dan Jabatan Agama Islam Perak yang menguruskan UPKK.

“Sekiranya ada keperluan untuk menangguhkan peperiksaan perkara itu mungkin dibincangkan secara kolektif supaya pelaksanaannya tidak menyebabkan murid tidak hadir menduduki peperiksaan,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Menteri Besar Perak menyempurnakan Himpunan Mahabbah Pendekar Negeri Perak di Dewan Utama Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di sini pada Ahad.

Khairudin berkata, pihaknya berharap keadaan IPU di Perak terus bertambah baik supaya pelaksanaan UPKK, SPM dan peperiksaan lain dapat berjalan lancar tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti luar di sekolah ketika ini tidak dibenarkan selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan KPM susulan keadaan jerebu.

Katanya, larangan itu meliputi aktiviti kokurikulum, perkhemahan dan sukan, manakala proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan di dalam kelas.

Sementara itu Khairudin menyifatkan Himpunan Mahabbah Pendekar Negeri Perak anjuran Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM) merupakan usaha baik bagi memelihara seni warisan negara serta menyemai minat dalam kalangan generasi muda.

"Sudah pastilah kerajaan negeri Perak di bawah kepimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad sentiasa menyokong dan juga menyambut usaha yang baik ini dalam masa yang sama untuk kita terus memelihara warisan persilatan ini dan juga sebagai salah satu agenda membangunkan modal insan dan belia seperti dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Kita kena lihat dalam seni persilatan ini bukan setakat sebagai jaguh dalam gelanggang tetapi juga ada adab, nilai, kerohanian yang diturunkan oleh jurulatih atau mahaguru-mahaguru dalam memastikan pendekar-pendekar yang dibimbing itu akhirnya bukan setakat mempunyai kepakaran dari segi persilatan, tetapi juga mempunyai nilai kerohanian, adab yang tinggi," katanya.

Pada majlis itu seramai lebih 500 pendekar berjaya dihimpunkan melibatkan pelbagai lapisan umur.