SHAH ALAM - Pengupacaraan perkahwinan sivil melibatkan pasangan bukan Islam di Malaysia oleh pihak yang diberi kuasa tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, perkara tersebut termaktub di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
"Akta 164 memperuntukkan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan sivil.
"Justeru, pengupacaraan perkahwinan sivil oleh pihak yang diberi kuasa di bawah Akta 164 tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan sesuatu agama. Fungsi tersebut merupakan tanggungjawab yang dilaksanakan menurut undang-undang negara dan bukannya pengambilalihan peranan pemimpin agama," kata kenyataan itu pada Ahad.
Sebelum ini, tular penyebaran semula klip video lama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan upacara perkahwinan sivil pasangan bukan Islam sehingga mendapat perhatian umum.
Klip video berkenaan merupakan sebahagian pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.
Mengulas lanjut, JPN berkata, masyarakat diingatkan agar sentiasa memahami fakta dan peruntukan undang-undang berkaitan sebelum membuat sebarang tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama.
Jelasnya, dalam konteks perkahwinan bukan Islam di Malaysia, adalah penting untuk membezakan antara pelaksanaan upacara keagamaan dengan pengupacaraan serta pendaftaran perkahwinan sivil.
"Setiap agama mempunyai upacara, adat dan amalan perkahwinan masing-masing, sama ada Buddha, Kristian, Hindu atau agama lain. Pelaksanaan ritual keagamaan tersebut merupakan urusan penganut dan pemimpin agama masing-masing, selaras dengan kepercayaan serta amalan agama berkenaan.
"Dari sudut undang-undang negara pula, perkahwinan pasangan bukan Islam yang tertakluk kepada Akta 164 hendaklah dilaksanakan dan didaftarkan mengikut peruntukan yang ditetapkan bagi memastikan status perkahwinan diiktiraf secara sah," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, kerajaan sentiasa menghormati kebebasan beragama serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia.
Bagaimanapun, pada masa sama katanya, pematuhan kepada undang- undang perkahwinan sivil adalah penting bagi memastikan hak dan kepentingan pasangan, anak-anak serta institusi keluarga terus terpelihara.
"JPN menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan undang-undang negara dan tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dakwaan yang tidak tepat atau mengelirukan masyarakat.
"JPN akan terus memastikan setiap urusan perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan undang-undang, dengan tetap menghormati kepelbagaian agama, adat dan budaya di negara ini," katanya.