JOHOR BAHRU - Daripada sekadar menemani kakaknya ke galeri tenun ketika berusia 15 tahun, siapa sangka sembilan tahun kemudian hasil tenunan Mohamad Sharil Ahmad menjadi antara busana yang digayakan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Lebih membanggakan, pemuda berusia 24 tahun dari Kluang itu juga pernah menghasilkan kain tenunan untuk Wau Merak yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2022.
Dua pencapaian tersebut menjadi antara kenangan paling bermakna buat anak bongsu daripada empat beradik itu yang kini sudah enam tahun mencari rezeki sebagai penenun di Galeri Tenun Johor, Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Menurut Mohamad Sharil, antara pengalaman paling manis ialah apabila kain tenunan berwarna merah jambu bermotifkan tiara diraja hasil tangannya digayakan Raja Zarith Sofiah sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Kain tersebut mengambil masa dua minggu untuk disiapkan, sekali gus memberikan kepuasan tersendiri kepadanya sebagai seorang penenun muda.
“Alhamdulillah, ini antara pengalaman manis saya sepanjang menjadi penenun. Saya harap lebih banyak lagi kenangan selepas ini,” katanya kepada Sinar Ahad.
Terpikat lihat kakak menenun
Mengimbas kembali penglibatannya dalam bidang itu, Mohamad Sharil berkata, ia bermula apabila dia mengikuti kakaknya, Norhulnadia Ahmad ke Galeri Tenun Johor ketika masih bersekolah.
Daripada sekadar melihat, minatnya semakin mendalam sehingga nekad mempelajari seni tenunan selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Habis SPM, saya terus menjalani kursus menenun songket selama enam bulan dan diterima bekerja sebagai penenun muda di Galeri Tenun Johor.
“Seronok bermain dengan benang sebab bukan sahaja menambah kreativiti tetapi hasilnya bila siap dan dipuji itulah yang menaikkan lagi semangat untuk saya aktif menenun,” katanya.
Kain Benang Johor yang dihasilkannya mempunyai keistimewaan tersendiri melalui corak berpetak dan motif bunga halus, berbeza daripada songket yang lazimnya lebih sarat dengan hiasan benang emas atau perak.
Selain menghasilkan kain untuk kegunaan diraja, Mohamad Sharil pernah terlibat dalam penghasilan tenunan bagi Wau Merak yang berjaya diterbangkan pada Festival Layang-Layang dan Wau Peringkat Kebangsaan di Pasir Gudang pada September 2022.
Wau yang menggunakan kain tenunan Johor itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menjadikan pencapaian berkenaan satu lagi bukti bahawa kemahiran tradisional mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa.
Bagi Mohamad Sharil, bidang tenunan bukan pekerjaan ketinggalan zaman meskipun dunia makin dikuasai teknologi.
“Saya tidak pernah rasa malu atau ketinggalan sebab kerjaya ini menyeronokkan, hanya perlu ketelitian dan masa untuk menyiapkan tempahan.
“Paling seronok bila dapat tempahan daripada orang-orang ternama yang secara tidak langsung nama saya juga disebut-sebut sebagai orang yang menyiapkan kain songket ini,” ujarnya.
Teliti setiap inci benang
Bagaimanapun di sebalik keindahan sehelai kain tenunan, tersimpan kerja rumit yang memerlukan kesabaran dan ketelitian.
Menurutnya, seorang penenun secara purata hanya mampu menghasilkan sekitar 10 hingga 20 inci kain dalam tempoh lapan jam bekerja.
Setiap tempahan lazimnya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk ditenun, bergantung pada kerumitan motif dan keadaan benang yang digunakan.
“Inilah kesukarannya sebab mesin tenun tradisional dipanggil Kei Tenun ni kadang-kadang cepat putus benangnya jadi kena betulkan dahulu, barulah sambung menenun.
“Biasanya satu tempahan ambil masa dua minggu untuk disiapkan. Ini pun bergantung juga kepada pemilihan motif daripada pelanggan,” katanya.
Dengan permintaan tinggi terutama menjelang musim perayaan, penghasilan kain secara manual tidak mampu dilakukan dalam jumlah besar seperti pengeluaran menggunakan mesin moden.
Namun, kekangan itu tidak mematahkan semangat Mohamad Sharil untuk terus menguasai seni tenunan dan berkongsi pengetahuan dengan generasi muda.
Di sebalik kejayaan dikecapi, dia juga menyimpan kerinduan terhadap kedua-dua ibu bapanya yang masing-masing meninggal dunia pada 2020 dan 2024.