SETIAP negara di dunia mempunyai keluasan wilayah dan jumlah penduduk yang berbeza-beza. Walaupun berkeluasan kecil, negara-negara ini mempunyai keunikan, sejarah dan keistimewaan tersendiri. Berikut ialah 10 negara terkecil di dunia berdasarkan keluasan wilayah berserta lokasi dan fakta menarik tentang negara-negara tersebut.
1. Vatican City
Keluasan: 0.44 km² (Eropah)
Ia merupakan negara paling kecil di dunia dan terletak sepenuhnya di dalam bandar Rom. Walaupun saiznya kurang daripada setengah kilometer persegi, ia mempunyai kepentingan agama dan sejarah yang sangat besar. Vatican City menjadi pusat pentadbiran Gereja Roman Katolik dan merupakan negara berdaulat yang berasingan daripada Itali. Antara mercu tanda utamanya ialah Gereja Saint Peter dan Muzium Vatican.
2. Monaco
Keluasan: 2.08 km² (Eropah)
Terletak di pesisir Laut Mediterranean dan dikelilingi Perancis. Negara ini terkenal dengan gaya hidup mewah, kapal layar, kasino Monte Carlo dan turut mempunyai litar perlumbaan Formula 1 (F1) yang berlangsung di jalan raya bandar. Walaupun bersaiz kecil, Monaco mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
3. Nauru
Keluasan: 21 km² (Oceania)
Negara pulau kecil terpencil di Lautan Pasifik ini pernah memperoleh pendapatan besar daripada aktiviti perlombongan fosfat. Kebergantungan terhadap sumber tersebut membawa cabaran ekonomi apabila hasilnya merosot. Kini, negara yang tidak mempunyai ibu kota rasmi ini berusaha mempelbagaikan ekonominya.
4. Tuvalu
Keluasan: 26 km² (Oceania)
Ia terdiri daripada sembilan pulau di Lautan Pasifik dengan Funafuti sebagai pusat pentadbirannya. Negara ini sangat terdedah kepada kenaikan paras laut kerana sebahagian besar daratannya terletak di kawasan yang rendah. Perubahan iklim menjadi antara cabaran terbesar bagi masa depan penduduknya.
5. San Marino
Keluasan: 61 km² (Eropah)
Dikelilingi sepenuhnya oleh Itali dan terkenal sebagai antara republik tertua di dunia. Menurut sejarah, negara ini dipercayai telah diasaskan pada 301 Masihi. Kubu pertahanan dan pemandangan indah dari Gunung Titano antara tarikan utama di bandar kuno ini. Ekonominya bergantung pada pelancongan, perkhidmatan, industri kecil dan perdagangan.
6. Liechtenstein
Keluasan: 160 km² (Eropah)
Terletak di kawasan pergunungan Alps antara dua negara 'terkurung daratan' iaitu Switzerland dan Austria. Ibu kotanya ialah Vaduz. Negara tanpa pesisir pantai ini terkenal dengan ekonomi maju yang berasaskan industri pembuatan, teknologi dan perkhidmatan kewangan.
7. Kepulauan Marshall
Keluasan: 181 km² (Oceania)
Ia terdiri daripada 29 atol dan lima pulau terpencil di Lautan Pasifik. Negara dengan bentuk muka bumi sangat unik ini pernah menjadi lokasi ujian senjata nuklear Amerika Syarikat (AS) antara 1946 hingga 1958. Kesan ujian tersebut dan ancaman kenaikan paras laut terus menjadi isu penting bagi negara ini yang bergantung kepada perikanan, bantuan luar dan beberapa kegiatan berkaitan pengangkutan laut.
8. Saint Kitts dan Nevis
Keluasan: 261 km² (Caribbean)
Negara ini terdiri daripada dua pulau utama di rantau Caribbean dan memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1983. Ekonominya bergantung kepada pelancongan dan perkhidmatan. Negara ini juga dikenali sebagai negara berdaulat terkecil di benua Amerika berdasarkan keluasan dan mempunyai pantai tropika, kawasan pergunungan serta hutan yang subur.
9. Maldives
Keluasan: kira-kira 300 km² (Asia)
Terletak di Lautan Hindi dan terdiri daripada ratusan pulau karang. Negara ini terkenal dalam kalangan pelancong kerana pantai pasir putih, terumbu karang dan pusat peranginan mewah. Namun, daratannya yang rendah menjadikannya sangat terdedah kepada kenaikan paras laut. Ia mempunyai ratusan pulau semula jadi, namun hanya sebahagiannya didiami secara kekal.
10. Malta
Keluasan: kira-kira 315 km² (Eropah)
Negara kepulauan di Laut Mediterranean yang mempunyai sejarah penting sebagai pusat perdagangan dan ketenteraan kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah Mediterranean. Ibu kota Valletta terkenal dengan seni bina bersejarah dan kubu pertahanan. Pelancongan, teknologi maklumat dan perkhidmatan kewangan menjadi antara penyumbang utama ekonominya.