Nak jadi wakil rakyat, kena jadi rakyat!

Iklan
Ab Rauf. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.

KUALA LUMPUR - Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) diperkenalkan kerajaan Melaka bagi mengenal pasti permasalahan rakyat secara langsung menerusi pendekatan turun padang di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, idea program itu tercetus daripada keinginannya untuk memastikan wakil rakyat memahami kesusahan masyarakat dan memberikan perkhidmatan lebih baik.

Iklan
Iklan

“Saya sebenarnya mengambil sifat ini sebagai seorang rakyat. Falsafah saya, sesiapa yang berminat jadi wakil rakyat, dia kena jadi rakyat.

“Dia kena tahu betapa susahnya rakyat mendapat perhatian daripada seorang wakil rakyat yang sepatutnya memberikan perkhidmatan kepada mereka,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.

Iklan

Ab Rauf. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.

Menurutnya, pengalaman membesar di sebuah kampung yang jauh dari bandar Melaka turut mendorongnya memperkenalkan pendekatan baharu bagi mendekatkan wakil rakyat dengan masyarakat.

Iklan

Ujarnya, idea WRUR tercetus bagi memastikan wakil rakyat memainkan peranan bersama kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya dilahirkan 65 tahun lalu dalam sebuah kampung yang gelap, tidak ada bekalan elektrik dan air, jadi, saya mengiringi pembangunan Melaka ini dan saya lihat kita mesti ada satu suntikan baharu supaya wakil rakyat tahu bagaimana keluh-kesah rakyat yang memerlukan perhatian.

“Sebagai contoh, kalau portfolio kebajikan, dia tidak boleh tunggu rakyat datang ketuk pintu pejabat untuk minta bantuan. Begitu juga portfolio pendidikan yang tidak boleh hanya menunggu sekolah mengeluh mengenai bangunan yang memerlukan perhatian.

“Jadi, saya kata, kenapa tidak kita turun berjumpa rakyat mengikut kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Kita bongkar apa masalah rakyat dalam kawasan tersebut,” katanya.

Ab Rauf berkata, program itu pada awalnya disasarkan melibatkan satu kawasan setiap bulan sebelum berjaya diperluas ke semua 28 DUN dalam tempoh 28 bulan.

Ujarnya, kerajaan negeri turut mengadakan program susulan menerusi Hari Exco Bertemu Rakyat di Seri Negeri selepas 45 hari bagi meneliti aduan yang masih belum diselesaikan di peringkat DUN.

“Pendekatan turun padang ini turut membantu kerajaan negeri mengenal pasti keperluan penduduk yang memerlukan perhatian lebih besar termasuk dalam aspek perumahan dan kebajikan.

“WRUR juga merangkumi lawatan ke sekolah, masjid dan balai raya, selain usaha memelihara seni, budaya serta permainan tradisional,” katanya.

Mengulas penglibatan wakil rakyat daripada latar belakang politik berbeza, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri memastikan semua pihak diberi ruang untuk menyantuni permasalahan rakyat, dengan keutamaan diberikan kepada kebajikan dan keperluan masyarakat.