GOMBAK – Kesalahan berkaitan penerbitan, pembinaan tanpa kebenaran dan aspek keselamatan kebakaran antara dikesan dalam serbuan di dua premis di Kampung Nahkoda dan Taman Laksamana, Batu Caves di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu membabitkan seramai 207 anggota daripada enam agensi penguat kuasa.
Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan tempatan yang berkuat kuasa.
"Seramai enam lelaki warga asing ditahan oleh JIM kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kegiatan mencurigakan di dua premis di Kampung Nakhoda dan Kampung Laksamana di sini membawa kepada penahanan enam warga Pakistan dalam operasi bersepadu pada Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 76 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan dibawa dan dikumpulkan pihak polis untuk pemeriksaan awal sebelum semakan dokumen dilakukan.
Sementara itu, Shazeli berkata, operasi itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), JIM, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Menurutnya, KDN mengambil tindakan berkaitan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986.
"ROS pula merampas dokumen dan bahan berkaitan untuk semakan lanjut, manakala MPS mengambil tindakan terhadap kesalahan pelesenan perniagaan dan pembinaan tanpa kebenaran.
"Tindakan termasuk pengeluaran notis serta sitaan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan," katanya.
Shazeli berkata, pemeriksaan JBPM turut mengenal pasti ketidakpatuhan aspek keselamatan kebakaran, termasuk kekurangan alat pemadam api dan kemudahan pelepasan kecemasan bangunan.
Jelasnya, tindakan lanjut diambil oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Secara keseluruhannya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Polis akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi demi memelihara keselamatan serta ketenteraman awam," katanya.