Liputan telekomunikasi kawasan pertumbuhan ekonomi Perak dipertingkat

Iklan
Mohd Azlan (dua dari kanan) menyerahkan topi keledar percuma kepada pengunjung sempena PMK Kepayang 2026 di Dewan Greentown pada Sabtu.

IPOH - Liputan telekomunikasi di kawasan pertumbuhan ekonomi utama di Perak akan dipertingkat menerusi peluasan rangkaian gentian optik bagi menyokong pembangunan negeri.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, usaha itu termasuk di lima kawasan nod pertumbuhan utama negeri yang dikenal pasti kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kawasan yang diberi perhatian ialah Tanjung Malim menerusi Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

“Perkara ini sudah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Isu Liputan Telekomunikasi Negeri Perak (JPIL) dan kita menetapkan sasaran khusus bersama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk menyelesaikan masalah liputan di kawasan terbabit.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Madani Kita (PMK) Kepayang 2026 di Dewan Greentown di sini pada Sabtu.

Terdahulu media melaporkan Kementerian Komunikasi serta MCMC akan meneliti kesesuaian memperluas ukuran atau metrik liputan rangkaian telekomunikasi, khususnya 5G bagi merangkumi kawasan aktiviti ekonomi penting seperti pelabuhan, laluan rel dan lebuh raya.

Iklan

Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri turut dijangka menerima peruntukan melalui MCMC membabitkan peruntukan RM350 juta bagi pembangunan pusat kawalan (command centre) dan peluasan rangkaian gentian optik di Perak.

Katanya, peruntukan itu merangkumi perancangan yang telah dikenal pasti kerajaan negeri sebelum ini, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan kemudahan telekomunikasi di kawasan strategik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha memperluas dan memperkukuh liputan telekomunikasi di penempatan masyarakat Orang Asli khususnya kawasan yang masih berdepan masalah capaian internet lemah.

Menurutnya, beberapa menara telekomunikasi baharu di kampung Orang Asli telah disiapkan menerusi pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat kawasan yang memerlukan penambahbaikan dari segi kekuatan isyarat walaupun kemudahan telekomunikasi sudah tersedia.

Beliau berkata, pihaknya akan turun ke Pos Kemar, Gerik pada 26 Oktober bersama MCMC Perak bagi meninjau dan meneliti keadaan liputan telekomunikasi di kawasan berkenaan.

“Isunya bukan tiada talian, tetapi liputan yang ada masih lemah. Jadi, kita akan meneliti keadaan di lapangan untuk mengenal pasti tindakan yang bersesuaian.

“Kita yakin dengan pendekatan lebih khusus serta peruntukan yang disediakan, masalah liputan lemah di kawasan masyarakat Orang Asli dapat ditangani secara berperingkat,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azlan berkata, usaha memperluas akses internet perlu dilaksanakan seiring dengan langkah meningkatkan kesedaran keselamatan penggunaan internet dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh kemudahan digital kerana internet kini menjadi keperluan penting bagi penduduk bandar dan luar bandar.