[VIDEO] Cubaan keluar Malaysia ikut laluan tikus gagal, 10 PATI ditahan ketika berehat di hotel

Iklan

KOTA BHARU – Belum sempat meneruskan perjalanan keluar dari Malaysia menggunakan laluan tikus, 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang transporter warga Myanmar ditahan dua jam selepas tiba di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh di sini pada Sabtu.

Penemuan beg-beg berisi pakaian dalam kereta Honda HRV. 

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, ketika serbuan dilakukan, PATI berusia antara 20 hingga 34 tahun itu dikesan sedang berehat di lokasi transit berkenaan bersama seorang transporter lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendaftar masuk pada jam 6.30 pagi.

“Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan Kelantan menjadi lokasi transit sebelum PATI dibawa keluar dari Malaysia oleh transporter terbabit,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian di sini pada Sabtu.

Iklan

Lokman Effendi (kanan) menyoal siasat seorang lelaki disyaki transpotter PATI.

Menurutnya, serbuan di hotel itu dilakukan oleh JIM Kelantan pada jam 8.30 pagi.

Iklan

Katanya, siasatan awal mendapati transporter warga Myanmar terbabit mengaku sudah empat tahun tinggal di Shah Alam, Selangor dan menerima upah RM3,500 bagi setiap PATI yang dibawanya.

“Kami juga merampas sebuah kereta jenis Honda CR-V yang dipercayai digunakan suspek untuk membawa PATI terbabit.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan beberapa beg yang mengandungi pakaian,” katanya.

Lokman Effendi berkata, pergerakan kumpulan seumpama itu lazimnya melibatkan persinggahan sementara di lokasi tertentu sebelum perjalanan diteruskan pada masa yang sesuai.

“Mereka juga dipercayai sering bertukar lokasi kerana menyedari pergerakan mereka dipantau pasukan Imigresen menerusi risikan yang dijalankan,” katanya.

Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.