Perak pertimbang bank makanan tangani gangguan gajah

Iklan
Kok Lim (tengah) menyempurnakan perasmian HASN dan Ozon Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Angsana Mall Ipoh di sini pada Sabtu.

IPOH - Kerajaan Perak sedang mengkaji cadangan mewujudkan bank makanan dan zon penampan bagi membantu menangani gangguan gajah liar yang semakin membimbangkan termasuk di Bukit Bangkong, Ulu Chemor di sini.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, cadangan itu sedang diteliti menerusi kajian bersama Jabatan Perhutanan negeri dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk menempatkan sumber makanan hidupan liar berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu antara usaha yang dipertimbangkan susulan peningkatan populasi gajah serta kawasan habitat yang semakin mengecil akibat pelbagai faktor.

“Populasi gajah semakin bertambah, manakala kawasan untuk mereka bergerak semakin kecil. Kadangkala gangguan juga berlaku mengikut musim terutama musim buah.

Iklan

“Kita sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan bank makanan di kawasan mereka berkeliaran selain zon penampan supaya gajah mempunyai kawasan tertentu untuk mendapatkan makanan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) dan Ozon Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Angsana Mall Ipoh di sini pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Kok Lim berkata, pelaksanaan cadangan itu memerlukan penelitian lanjut kerana pergerakan gajah liar sukar dikawal dan haiwan berkenaan tidak semestinya memilih makanan yang disediakan manusia.

Justeru, katanya, kerjasama antara agensi berkaitan penting bagi memastikan kawasan yang dikenal pasti sesuai dengan keperluan habitat gajah serta dapat mengurangkan konflik antara manusia dengan hidupan liar.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, pekebun di Rancangan Pertanian Berkelompok Ulu Chemor, Bukit Bangkong, melahirkan kebimbangan selepas kebun mereka mengalami kerosakan akibat tiga kejadian gangguan gajah liar sejak 27 September lalu.