BULAN Oktober mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga kesihatan. Pada 10 Oktober, kita memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia manakala Kempen Kesedaran Kanser Payudara turut berlangsung sepanjang bulan ini.
Bagi saya, Oktober juga merupakan bulan hari lahir. Semua ini mendorong saya berfikir bukan sekadar tentang pertambahan usia, tetapi bagaimana kita mahu menjalani kehidupan apabila semakin berusia.
Penuaan ialah proses sepanjang hayat yang dipengaruhi tabiat, hubungan sosial dan cara kita menjaga tubuh serta minda. Pada Persidangan Kebangsaan Penuaan Sihat Malaysia ke-11 di Sabah, Dr Wong Teck Wee daripada Malaysian Healthy Ageing Society mengingatkan bahawa penuaan sihat bermula jauh sebelum kita mencapai usia lanjut.
Beliau turut membezakan antara jangka hayat dengan tempoh kehidupan yang dilalui dalam keadaan sihat (healthspan). Hidup lebih lama tidak semestinya bermakna kita menikmati lebih banyak tahun dalam keadaan sihat, berdikari dan mampu melakukan perkara yang penting bagi diri kita.
Persoalannya bukan sekadar, “Berapa lama saya akan hidup?” tetapi “Bagaimanakah saya mahu menjalani tahun-tahun kehidupan saya?”
Kesihatan mental ialah sebahagian daripada kesihatan. Tema Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini, 'Pengalaman Hidup Didengari: Suara Sebenar, Perubahan Direalisasi' mengingatkan kita tentang pentingnya mendengar pengalaman mereka yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir satu daripada tujuh orang di seluruh dunia hidup dengan gangguan mental. Namun, kesihatan mental bukan sekadar ketiadaan penyakit. Ia turut melibatkan kesejahteraan emosi, hubungan sosial dan kualiti kehidupan.
Adakah kita mendapat tidur mencukupi? Adakah kita mempunyai seseorang untuk dihubungi ketika menghadapi kesukaran? Adakah kita berasa dihargai dan mempunyai hubungan bermakna dengan orang lain?
Kita perlu memantau tekanan darah, paras gula, kolesterol dan risiko kanser. Namun, kita juga harus bertanya bilakah kali terakhir kita ketawa bersama rakan, menikmati hidangan bersama keluarga tanpa tergesa-gesa atau berbual tanpa asyik melihat telefon.
Bulan Oktober turut mengingatkan wanita supaya memberikan perhatian kepada kesihatan fizikal. Kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap didiagnosis dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Kesedaran mengenainya seharusnya mendorong tindakan, bukannya ketakutan.
Kenali tubuh sendiri, fahami risiko peribadi, ikuti saranan saringan yang bersesuaian dan dapatkan nasihat perubatan jika terdapat perubahan yang mencurigakan.
Wanita sering mengutamakan anak-anak, ibu bapa yang semakin berusia dan ahli keluarga lain sehingga mengabaikan kesihatan sendiri. Hakikatnya, menjaga diri bukan tindakan mementingkan diri, sebaliknya membolehkan kita terus memainkan peranan dalam kehidupan orang disayangi.
Menopaus atau putus haid juga perlu dibincangkan secara terbuka. Perubahan hormon boleh mempengaruhi tidur, emosi, kesejahteraan mental, kesihatan tulang risiko penyakit kardiovaskular dan ketakutan bahawa suami akan mencari pengganti. Wanita tidak seharusnya terpaksa menghadapi perubahan ini secara senyap. Memahami perubahan yang berlaku, mendapatkan nasihat dan menerima sokongan yang sesuai merupakan sebahagian daripada penjagaan kesihatan.
Kita tidak perlu berpura-pura tiada apa-apa berubah apabila usia meningkat. Sebaliknya, kita perlu memahami tubuh sendiri dan menerima perubahan itu.
Perubahan
Media sosial dipenuhi kafe tular, pencuci mulut menarik, minuman bersaiz besar dan pelbagai trend makanan. Tiada salahnya menikmati makanan kegemaran sekali-sekala, tetapi kita perlu bijak menentukan kekerapan dan kuantitinya.
Asas kehidupan sihat sebenarnya mudah: minum lebih banyak air kosong, kurangkan minuman manis dan makanan ultra-proses, lakukan aktiviti fizikal secara berkala, dapatkan tidur mencukupi dan elakkan penggunaan telefon sebelum tidur.
Kita tidak memerlukan keahlian gim yang mahal atau pelbagai suplemen untuk hidup sihat. Yang lebih penting ialah disiplin, konsistensi dan keseimbangan.
Walaupun teknologi membolehkan kita berhubung dengan lebih mudah, ramai yang masih berasa kesunyian. WHO menganggarkan kira-kira satu daripada enam orang di seluruh dunia mengalami kesunyian.
Melihat kehidupan orang lain di media sosial selama berjam-jam tidak semestinya memberi hubungan bermakna. Sebaliknya, hubungilah rakan, kunjungi saudara yang lanjut usia, sertai kumpulan berjalan kaki atau luangkan masa bersama seseorang. Ketika bersama insan tersayang, simpan telefon dan berikan perhatian sepenuhnya. Tiada algoritma yang mampu menggantikan kehangatan hubungan sesama manusia.
Kita juga perlu mengakui bahawa tidak semua orang mempunyai peluang yang sama untuk hidup sihat. Pendapatan, waktu bekerja, kos makanan dan akses kepada penjagaan kesihatan mempengaruhi kemampuan seseorang menjaga diri.
Masyarakat perlu memastikan makanan berkhasiat mampu dibeli pada harga berpatutan, kemudahan kesihatan dan saringan dapat diakses, sokongan kesihatan mental tersedia serta ruang selamat untuk bersenam disediakan. Pada masa yang sama, langkah mudah seperti berjalan kaki, mengurangkan masa skrin dan meluangkan masa bersama keluarga tidak semestinya memerlukan wang.
Penuaan tidak semestinya mudah atau seindah digambarkan di media sosial. Tubuh berubah, ibu bapa mungkin semakin bergantung pada kita, rakan-rakan boleh jatuh sakit dan kehilangan insan tersayang menjadi sebahagian kehidupan. Kerjaya, kewangan dan kebebasan diri juga mungkin berubah.
Kita tidak perlu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja. Sebaliknya, kita harus menerima perkara yang tidak dapat diubah sambil mengenal pasti perkara yang masih dalam kawalan kita. Kita tidak mampu menghentikan masa, tetapi kita boleh memilih bagaimana kita menghadapinya.
Bulan hari lahir saya membuatkan saya memikirkan apa yang benar-benar saya inginkan daripada tahun-tahun mendatang. Bukan semestinya lebih banyak tahun, tetapi lebih banyak tahun yang bermakna dan berkualiti.
Saya mengharapkan lebih banyak peluang terus belajar, berdikari, menikmati persahabatan, ketawa dan melakukan perkara yang memberi tujuan kepada kehidupan. Saya juga mahu terus menjaga minda sebagaimana kita menjaga tubuh, serta menghargai perbualan dan masa bersama insan tersayang.
Penuaan sihat bukan tentang berusaha mati-matian untuk kekal muda, mengejar setiap trend kesihatan atau mengukur nilai diri berdasarkan penampilan. Sebaliknya, ia tentang memastikan tahun-tahun yang kita miliki benar-benar bermakna.
Jagalah tubuh dan minda. Jalani saringan kesihatan bersesuaian, kekalkan hubungan sosial dan jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan apabila memerlukannya.
*Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff ialah Raja Puan Muda Kedah. Tuanku merupakan seorang peguam terlatih, aktivis kesihatan mental dan Penaung Diraja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia