Raja dan rakyat berpisah tiada

Iklan
Galeri Wakaf Diraja yang terletak di Jalan Kangsar di sini menyimpan khazanah penting terhadap institusi wakaf. Gambar kecil: Raja Hazwan Shah

KUALA KANGSAR – Lebih satu abad selepas penubuhannya, Wakaf Diraja Sultan Idris Mursid-ul-Adzam Shah terus membuktikan bahawa wakaf bukan sekadar peninggalan sejarah, sebaliknya merupakan satu instrumen pembangunan ummah yang mampu bertahan merentas zaman.

Lebih daripada itu, sejarah wakaf ini mencerminkan satu nilai yang begitu dekat dengan tradisi Kesultanan Melayu iaitu raja dan rakyat berpisah tiada apabila amanah dan harta diraja diterjemahkan menjadi manfaat yang terus kembali kepada agama, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

Pengurus Besar Wakaf Diraja, Raja Hazwan Shah Raja Danil Akhsan berkata, konsep wakaf perlu dilihat sebagai satu amanah yang mempunyai nilai jangka panjang, bukan sekadar pemindahan hak milik sesuatu harta.

“Wakaf mempunyai hubungan rapat dengan konsep tanggungjawab seorang raja terhadap rakyat.

Iklan

“Harta bukan sekadar untuk dimiliki, tetapi boleh diabadikan supaya manfaatnya terus dinikmati oleh masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejarah awal wakaf ini turut berkait dengan Tengku Permaisuri Uteh Mariah, isteri Almarhum Sultan Idris Mursidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 yang mewakafkan tanah dan bangunan bagi tujuan pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim perempuan.

Iklan

Amanah tersebut kemudiannya berkembang seiring dengan hasrat Almarhum Sultan Idris untuk menjadikan sebahagian harta sebagai amanah yang manfaatnya dapat terus disalurkan kepada agama, ilmu dan masyarakat.

Harta yang diwakafkan tidak dilihat semata-mata sebagai aset, tetapi sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipelihara supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi seterusnya.

Madrasah Idrisiah berkembang sebagai institusi pendidikan Islam yang melahirkan generasi berilmu dan tokoh agama.

Dalam konteks inilah, Wakaf Diraja Sultan Idris memperlihatkan satu bentuk pemikiran pembangunan yang jauh mendahului zamannya mengabadikan harta supaya hasilnya dapat terus membiayai keperluan masyarakat.

Kelangsungan amanah itu kemudiannya diperkukuh melalui kerangka perundangan pada zaman pemerintahan putera Almarhum Sultan Idris iaitu Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah yang memerintah Perak dari 1916 hingga 1918.

Rujukan

Pada tahun 1917, Enakmen No 3 Tahun 1917, The Sultan Idris Religious and Charitable Trust Enactment, Perak 1917 diwujudkan sebagai satu rujukan perundangan khusus bagi mengurus amanah agama dan kebajikan tersebut.

Raja Hazwan Shah berkata, langkah berkenaan memperlihatkan bahawa wakaf bukan sahaja memerlukan niat dan amanah tetapi turut memerlukan satu sistem pengurusan tersusun bagi memastikan harta yang diwakafkan terus mencapai tujuan asalnya.

Menurutnya, di sinilah lahir satu model yang memperlihatkan hubungan antara amanah raja, pengurusan harta dan manfaat rakyat dapat dibina dalam satu kerangka berterusan.

Jelas beliau, hasil wakaf tersebut kemudiannya menjadi sebahagian daripada kelangsungan tiga institusi penting di Kuala Kangsar iaitu Masjid Ridzwaniah, Madrasah Idrisiah dan Makam Diraja Al-Ghufran.

Masjid Ridzwaniah menjadi pusat ibadah dan kehidupan keagamaan masyarakat manakala Madrasah Idrisiah pula berkembang sebagai institusi pendidikan Islam yang melahirkan generasi berilmu dan tokoh agama.

Makam Diraja Al-Ghufran menjadi tempat bersemadinya kerabat diraja sekaligus menjadi warisan agama, sejarah dan Kesultanan Perak yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

Makam Diraja Al-Ghufran pula menjadi tempat bersemadinya kerabat diraja sekali gus menjadi warisan agama, sejarah dan Kesultanan Perak yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

Ketiga-tiga institusi ini membawa fungsi berbeza namun berkongsi satu asas sama iaitu amanah wakaf.

Raja Hazwan Shah berkata, antara aset penting wakaf ini ialah 19 lot kedai di Jalan Kangsar di sini yang telah berusia lebih daripada satu abad.

Jelas beliau, aset tersebut bukan sekadar tinggalan sejarah kerana melalui hasil sewaan dan pengurusannya, harta wakaf terus menjana pendapatan yang disalurkan kepada manfaat institusi dan penerima ditetapkan.

Masjid Ridzwaniah yang merupakan penerima manfaat Wakaf Diraja menjadi pusat ibadah dan kehidupan keagamaan masyarakat.

Sebagai contoh Masjid Ridzwaniah menerima peruntukan bagi keperluan imam serta penyelenggaraan masjid sementara Makam Diraja Al-Ghufran pula menerima manfaat bagi keperluan penjagaan dan bacaan al-Quran.

Madrasah Idrisiah menerima peruntukan terbesar bagi memastikan kesinambungan fungsi pendidikan dan pengajaran agama.

Manfaat itu turut melibatkan masyarakat Islam Kuala Kangsar secara lebih luas, sama ada melalui kemudahan keagamaan, pendidikan mahupun pemeliharaan warisan.

Lebih satu abad selepas amanah itu diasaskan, Wakaf Diraja Sultan Idris masih mempunyai peranan relevan dalam pembangunan ummah.

Visinya bukan sekadar mengekalkan aset lama tetapi memastikan harta wakaf terus mampu menyokong pemeliharaan institusi agama, pendidikan dan warisan untuk jangka panjang.

Misinya pula berakar pada amanah asal iaitu memelihara harta wakaf sebagai sumber manfaat berterusan kepada agama, ilmu dan masyarakat di samping memastikan generasi hari ini dan akan datang terus menerima manfaatnya.

Sebahagian bahan sejarah Wakaf Diraja yang dipamerkan di Galeri Wakaf Diraja, Jalan Kangsar di sini.

Dalam kerangka tersebut, wakaf boleh menjadi pemangkin pembangunan masyarakat yang berteraskan nilai Islam, kebajikan dan tanggungjawab sosial.

Wakaf Diraja Sultan Idris akhirnya memperlihatkan bahawa harta yang diabadikan bukanlah harta yang terhenti nilainya sebaliknya ia terus bergerak melalui hasil, manfaat, ilmu, ibadah dan khidmat kepada masyarakat.

Lebih penting, warisan ini menunjukkan bahawa amanah seorang raja terhadap rakyat tidak semestinya berakhir bersama zaman.

Apabila harta dijadikan wakaf, manfaatnya dapat terus mengalir merentas generasi.