JOHOR BAHRU – Johor menggesa negara-negara ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berlarutan sejak 25 Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tindakan bersama itu penting bagi memperkukuh usaha pengawalan kebakaran, pemantauan titik panas dan pencegahan kebakaran pada masa akan datang.
Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan bencana peringkat negeri susulan episod jerebu yang sudah berlarutan selama 53 hari di Johor.
"Risiko jerebu rentas sempadan turut menjadi perhatian susulan aktiviti titik panas yang dikesan di Indonesia," katanya dalam muat naik di media sosial pada Jumaat.
Berdasarkan maklumat Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) yang diterima, sebanyak 453 titik panas dikesan di Kalimantan manakala 153 lagi di Sumatera.
Kewujudan titik panas itu berpotensi meningkatkan risiko jerebu sekiranya berlaku kebakaran yang menyebabkan asap bergerak merentasi sempadan negara.
Sehubungan itu, beliau berharap negara-negara ASEAN dapat memainkan peranan lebih aktif dan menyelaraskan tindakan bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh Bangsa Johor supaya bersama-sama berdoa agar negeri ini dan seluruh negara dilindungi daripada sebarang musibah serta bencana.
Johor sebelum ini turut mengambil langkah menutup sekolah dan institusi pendidikan susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di negeri ini.
Penutupan itu dibuat selepas beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan murid, pelajar serta warga sekolah.