El Nino: Nelayan pantai antara terkesan

Iklan
Mohamad. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Nelayan pantai dijangka antara golongan yang akan terkesan sekiranya fenomena El Nino menyebabkan suhu meningkat sehingga 40 darjah Celsius.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, persediaan awal dibuat pihak kementerian itu bagi melindungi sumber pendapatan mereka.

Iklan
Iklan

“Peningkatan suhu boleh menyebabkan ikan bergerak lebih jauh ke tengah laut, sedangkan nelayan pantai mempunyai keterbatasan untuk menangkap ikan di kawasan lebih dalam.

“Kami sedang meneliti langkah persediaan bagi menghadapi fenomena itu bersama jawatankuasa berkaitan sekuriti makanan yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Amanah negeri Kelantan 2026 di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohamad mengulas, nelayan pantai lazimnya menangkap ikan dalam lingkungan lima batu nautika dan berdepan kesukaran sekiranya sumber ikan bergerak ke kawasan lebih jauh.

Katanya, kesan El Nino juga bukan sahaja melibatkan sektor perikanan, malah turut menjejaskan pertanian dan akuakultur termasuk keperluan menyediakan perlindungan tambahan bagi kolam ternakan ikan ketika cuaca terlalu panas.

Iklan

“Fenomena ini memberi kesan paling utama kepada sektor pertanian.

“Sebab itu kami buat persediaan awal dan memberi maklumat kepada rakyat merangkumi golongan petani juga supaya mereka boleh membuat persediaan,” katanya.

Beliau berkata, langkah awal penting supaya golongan terlibat dapat merancang tindakan bersesuaian bagi mengurangkan kesan cuaca panas terhadap kegiatan ekonomi mereka.