Mahkamah tangguh keputusan rayuan Papagomo

Iklan
Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 30 April tahun lepas sebagai pendengaran bagi prosiding menghina mahkamah yang dimulakan oleh Razarudin.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Jumaat menangguhkan keputusan berhubung rayuan Wan Muhammad Azri Wan Deris terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman 30 hari penjara ke atas pemblog itu kerana menghina mahkamah dalam kes saman fitnah difailkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Datuk Azizul Azmi Adnan yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, menetapkan 29 Oktober ini sebagai pengurusan kes untuk menetapkan tarikh keputusan.

Iklan
Iklan

Terdahulu, panel itu yang turut terdiri daripada Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun mendengar hujah peguam yang mewakili Wan Muhammad Azri serta Razarudin.

Pada 27 Ogos 2025, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri, juga dikenali sebagai Papagomo, telah melanggar perintah injunksi mahkamah berkaitan saman fitnah difailkan Razarudin yang sedang berlangsung.

Iklan

Techiong menjatuhkan hukuman penjara 15 hari ke atas pemblog itu kerana gagal mematuhi perintah mahkamah untuk memohon maaf kepada Razarudin dan 15 hari lagi kerana membuat kenyataan dalam video yang menunjukkan bahawa beliau tidak menyesali perbuatannya.

Mahkamah Tinggi telah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan secara berturut-turut dan Wan Muhammad Azri juga diarah membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Razarudin.

Iklan

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Wan Muhammad Azri untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu pelupusan rayuannya.  

Prosiding pada Jumaat, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili pemblog itu berhujah bahawa anak guamnya tidak menghina mahkamah kerana beliau telah membacakan permohonan maaf tanpa syarat yang dipersetujui kepada mahkamah dan Razarudin secara terbuka pada 30 April 2025 serta memadam hantaran terdahulu.  

Beliau berkata, Wan Muhammad Azri juga telah mematuhi arahan mahkamah untuk menyiarkan permohonan maaf yang sama di empat akaun media sosialnya selama sekurang-kurangnya tujuh hari dan membayar RM5,000 sebagai kos serta permohonan maafnya dilaporkan secara meluas oleh media.  

Sebagai alternatif, peguam itu memohon supaya hukuman penjara anak guamnya digantikan dengan denda.

Bagaimanapun, peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin mendesak mahkamah untuk mengekalkan kedua-dua perintah Mahkamah Tinggi itu.

Beliau berkata, Wan Muhammad Azri gagal mematuhi permohonan maaf dengan ikhlas, sambil menambah permohonan maaf itu telah dikemukakan dalam bentuk yang sukar dibaca dan tiada bukti menunjukkan bahawa ia dikekalkan di platform media sosial Wan Muhammad Azri yang berkaitan.  

Raam yang dibantu oleh Tan Khay Boon dan Norleena Jamal juga berhujah bahawa di bawah Seksyen 69(4) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 panel itu mempunyai kuasa untuk meningkatkan hukuman walaupun tiada rayuan balas.  

Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri pada 27 Disember 2024 berhubung kenyataan fitnah yang didakwa membabitkan dirinya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

Pada 10 Januari 2025, Razarudin memperoleh perintah injunksi bagi menghalang Wan Muhammad Azri atau ejen-ejennya daripada menerbitkan atau menyebarkan kenyataan fitnah tentang beliau di media sosial sehingga kes itu selesai. 

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 30 April tahun lepas sebagai pendengaran bagi prosiding menghina mahkamah yang dimulakan oleh Razarudin.

Bagaimanapun, Wan Muhammad Azri memutuskan untuk memohon maaf kepada Razarudin dan mahkamah. - Bernama