KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Putrajaya dan 11 negeri hingga jam 8 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri-negeri terlibat ialah Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Sik, Baling, Kuala Muda, Langkawi dan Padang Terap) serta Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut Matang, Selama, Kerian, Kinta, Perak Tengah, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk).
Keadaan sama turut dijangka melanda Kelantan (Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang), Terengganu (Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu) serta Pahang (Jerantut dan Kuantan).
Di Selangor, kawasan terjejas ialah Petaling, Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang, Sabak Bernam dan Hulu Langat, manakala di Negeri Sembilan (Tampin) serta Melaka.
Di Sabah, cuaca buruk itu melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Pensiangan, Membakut, Beaufort, Tambunan, Keningau dan Sook), Pantai Barat (Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Ranau), Sandakan (Kinabatangan dan Tongod) serta Kudat (Kota Marudu).
Sementara itu di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Mukah, Sarikei, Sibu, Kapit (Song), Bintulu, Limbang serta Miri (Marudi, Bario dan Telang Usan). - Bernama