'Saya dah cuba rempuh pintu' - Bapa terkilan gagal selamatkan anak

Iklan
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

MANJUNG -"Saya cuba membuka pintu rumah, tetapi tidak berjaya. Saya juga cuba merempuhnya, namun api terlalu marak dan keadaan terlalu panas."

Itu detik menyedihkan yang dilalui seorang bapa apabila gagal menyelamatkan dua anak perempuannya yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Koh, Sitiawan di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, Kiong Lee Yi, 19, dan Kiong Bao Yi, 14, ditemui maut dalam kebakaran membabitkan dua rumah berkembar dua tingkat.

Lee Yi merupakan pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (ACS) Sitiawan, manakala adiknya pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Nan Hwa.

Iklan

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, Kiong Lee Yi, 19, dan Kiong Bao Yi, 14, ditemui maut dalam kebakaran membabitkan dua rumah berkembar dua tingkat.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Kiong, 50, berkata, ketika kejadian dia dan isterinya keluar bersarapan di Sitiawan sebelum pulang dan mendapati rumah mereka sudah terbakar.

Iklan

Menurutnya, sebaik tiba, dia melihat api sedang marak sebelum berusaha memasuki rumah untuk menyelamatkan kedua-dua anaknya.

"Keadaan ketika itu terlalu panas, kami tidak dapat masuk untuk mengeluarkan anak kami," katanya pilu ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Kiong yang bekerja di sebuah bengkel kenderaan tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dan kesedihan kerana gagal menyelamatkan kedua-dua anaknya dalam kejadian itu.

Menurut beliau, mayat dua anaknya itu ditemukan pasukan penyelamat di lokasi berbeza iaitu masing-masing di tingkat atas dan bawah rumah.

"Mereka sedang tidur di tingkat atas ketika kami keluar sarapan. Kami pun tak tahu punca yang menyebabkan kebakaran ini berlaku," katanya.

Sayani (dua dari kanan) ketika meninjau lokasi kejadian kebakaran yang mengorbankan dua beradik di Kampung Koh, Sitiawan pada Jumaat.

Kiong berkata, kediaman dua tingkat berkenaan turut didiami abangnya yang ketika kejadian sudah keluar bekerja.

"Saya dan isteri sedih kerana gagal selamatkan anak kami. Kami cuma mampu lihat api marak sambil menunggu pasukan bomba memadam kebakaran," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon turut meluangkan masa melawat lokasi kejadian serta bertemu ibu bapa mangsa.

Terdahulu beliau memaklumkan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.01 pagi, dengan kebakaran dilaporkan memusnahkan hampir 90 peratus kediaman terlibat.

Kebakaran itu turut melibatkan empat kenderaan iaitu dua kereta Proton Saga, sebuah Proton Perdana dan sebuah motosikal.