CHICAGO - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan di Illinois, Amerika Syarikat (AS) selepas disyaki merancang serangan tembakan beramai-ramai terhadap sebuah kuil Hindu, dipercayai bermotifkan kebencian terhadap masyarakat India.
Suspek, Alexandros Paporakis yang bekerja sebagai juruwang restoran Taco Bell, diberkas pada Ahad lalu selepas dua rakan sekerjanya memaklumkan polis mengenai kenyataan serta mesej mencurigakan yang diterima daripada lelaki itu.
Menurut laporan Al Jazeera, pendakwa raya mendakwa Paporakis pernah memberitahu rakan sekerjanya bahawa dia tidak sabar untuk membunuh orang India.
Siasatan mendapati suspek dipercayai merancang menyerang sebuah kuil Hindu di Aurora, kira-kira 65 kilometer dari kawasan kediamannya di Palatine.
Bagaimanapun, polis menegaskan lokasi sebenar yang menjadi sasaran masih dalam siasatan.
Seorang rakan sekerja turut mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan senapangnya mengalami kerosakan ketika dia dipercayai cuba melaksanakan serangan tersebut.
Suspek kemudian didakwa menghantar rakaman menunjukkan senjata api berkenaan gagal berfungsi dan menyatakan hasrat untuk mencuba sekali lagi selepas dibaiki.
Pemeriksaan di kediamannya menemukan senapang jenis AR tanpa nombor siri, peluru, kelengkapan taktikal serta barangan yang memaparkan simbol Nazi.
Penyiasat turut menemukan dokumen setebal lapan halaman yang mengandungi fahaman ketuanan kulit putih dan rancangan membunuh individu berketurunan India, Yahudi serta masyarakat kulit hitam.
Paporakis kini berdepan pertuduhan membuat ancaman keganasan dan memiliki senjata api secara tidak sah.
Mahkamah pada Rabu memerintahkan suspek terus ditahan sementara menunggu perbicaraan.
Sentimen anti-India semakin membimbangkan
Kes itu mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen perkauman di AS, khususnya terhadap masyarakat India dan Asia Selatan.
Menurut laporan Pusat Kajian Kebencian Terancang (CSOH), jumlah hantaran berunsur kebencian terhadap masyarakat Asia Selatan di platform X meningkat lebih tiga kali ganda antara Januari 2024 hingga Jun 2026.
Tinjauan Carnegie Endowment for International Peace pula mendapati seorang daripada empat responden warga Amerika berketurunan India mengalami penghinaan berunsur perkauman sejak awal 2025.
Selain itu, sembilan peratus responden melaporkan pernah menerima ancaman fizikal, manakala empat peratus mendakwa pernah diserang.
Pakar mengaitkan peningkatan sentimen tersebut dengan pertikaian dasar imigresen dan visa pekerja mahir H-1B yang banyak digunakan warga India untuk bekerja di AS.
Bagaimanapun, tinjauan sama tidak menemukan perubahan ketara dalam kadar responden yang melaporkan pengalaman diskriminasi peribadi berbanding 2020. - Agensi