Gaji minimum RM2,000 ditetapkan selepas teliti risiko inflasi - Ramanan

Iklan
Ramanan - FOTO: Bernama

PUTRAJAYA – Penetapan kadar gaji minimum RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 diputuskan selepas kerajaan mengambil kira kesan kenaikan gaji terhadap inflasi, harga barang dan keupayaan ekonomi menampung peningkatan kos berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, penetapan kadar itu dibuat selepas penelitian teliti bagi memastikan kenaikan gaji tidak memberikan kesan berlebihan terhadap ekonomi negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan tidak menetapkan kadar lebih tinggi seperti RM3,000 hingga RM3,500 seperti yang dicadangkan beberapa pihak kerana kesan terhadap kenaikan harga dan inflasi perlu turut dipertimbangkan.

“Kita tidak menetapkan kadar sehingga tahap itu kerana ramai dalam kalangan mereka tidak mengambil kira kenaikan harga dan inflasi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai kebimbangan terhadap kesan susulan kenaikan gaji minimum, termasuk kemungkinan peningkatan harga barang.

Ujar Ramanan, penetapan kadar baharu itu turut mengambil kira hasil perbincangan serta penelitian yang dilakukan bersama pasukan berkaitan sebelum keputusan dibuat.

Iklan

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meneliti cadangan berkenaan sebelum keputusan dimuktamadkan di peringkat kerajaan.

“Apabila kita membentangkan perkara ini kepada Jemaah Menteri dan membincangkannya dengan Perdana Menteri, beliau juga perlu meneliti dan yakin bahawa ini merupakan pendekatan yang wajar sebelum keputusan dibuat,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan yakin keputusan yang dibuat secara bersama itu mengambil kira pelbagai pertimbangan sebelum pelaksanaan kadar gaji minimum baharu.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, kerajaan turut memberikan kelonggaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan RM50 juta ke bawah daripada kewajipan melaksanakan kadar gaji minimum RM2,000.

Menurutnya, majikan dalam kategori berkenaan boleh terus menggunakan kadar RM1,700, namun kerajaan mengalu-alukan majikan yang berkemampuan untuk melaksanakan kadar RM2,000 bagi membantu pekerja.

Ramanan berkata, pendekatan itu penting bagi memberikan ruang kepada industri menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan dasar berkenaan perlu dilakukan secara berperingkat dan sistematik bagi memastikan kepentingan pekerja serta majikan terus diambil kira.