Guru tuisyen direman sehingga 21 Oktober bantu siasat kes amang seksual 5 pelajar

Iklan
Seorang guru tuisyen ditahan reman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang guru tuisyen ditahan reman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan umur belasan tahun.

Iklan
Iklan

"Suspek berusia lewat 40-an yang juga penjawat awam telah ditahan reman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Fadil dilaporkan berkata, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen.

Iklan

Polis menerima lima laporan berasingan berhubung kejadian itu yang dibuat di Balai Polis Bukit Jalil.

Laporan polis yang pertama dibuat pada 6 Oktober lalu, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan diterima pada 11 Oktober

Iklan

Fadil berkata, pihak polis melakukan siasatan terperinci dan merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak bagi melengkapkan kertas siasatan.

Siasatan lanjut sudah dijalankan dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada ahli keluarga dan mangsa.

Semua pihak iaitu ahli keluarga mangsa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam siasatan kes ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792)," katanya.