JAKARTA - Cadangan adik Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk memanfaatkan 12.7 juta hektar kawasan hutan rosak bagi penanaman kelapa sawit mencetuskan kebimbangan aktivis alam sekitar mengenai risiko pembukaan ladang secara besar-besaran.
Utusan Khas Presiden bagi Iklim dan Tenaga, Hashim Djojohadikusumo berkata, kawasan hutan terdegradasi itu berpotensi digunakan sebagai sumber bahan mentah untuk menyokong pengeluaran biodiesel B50 hingga B100.
Hashim turut mendakwa kawasan hutan yang mengalami kerosakan menjadi antara punca kebakaran hutan dan tanah yang kerap melanda Indonesia.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan lokasi, status tanah atau mekanisme penggunaan kawasan seluas 12.7 juta hektar itu.
Keadaan tersebut mencetuskan kebimbangan bahawa cadangan berkenaan boleh membuka ruang kepada penukaran kawasan hutan yang masih produktif menjadi ladang kelapa sawit.
Jurukempen Kanan Pantau Gambut, Putra Saptian menyifatkan cadangan itu berbahaya sekiranya dilaksanakan tanpa ketelusan data dan penelitian menyeluruh.
"Jangan sampai ia dianggap sebagai arahan, kemudian pihak tertentu mencari tanah sehingga menukar hutan yang masih produktif," katanya.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Perhutanan Universiti Gadjah Mada (UGM), Hero Marhaento berkata, kawasan hutan rosak tidak boleh sewenang-wenangnya ditukar kepada ladang sawit kerana sebahagiannya tertakluk kepada peraturan pemuliharaan.
Menurutnya, kawasan berkenaan sepatutnya dipulihkan bagi mengembalikan fungsi ekologi hutan.
Beliau turut berpandangan bahawa keperluan minyak sawit untuk pasaran domestik, eksport dan biodiesel berpotensi dipenuhi tanpa membuka ladang baharu sekiranya produktiviti tanaman sedia ada dipertingkatkan.
Program B50 yang menggunakan campuran 50 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 50 peratus diesel petroleum merupakan sebahagian usaha Indonesia mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Kerajaan turut menyasarkan pembangunan B100 yang menggunakan biodiesel sepenuhnya.
Bagaimanapun, pengkritik mengingatkan bahawa pembangunan tenaga alternatif tidak sepatutnya mengorbankan kawasan hutan yang masih mempunyai kepentingan ekologi. - Agensi