IPOH - Kerajaan dicadang mengurangkan kos pematuhan dan mempercepat proses kelulusan pembangunan hartanah bagi memastikan lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina untuk rakyat.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak, Ir Loh Ban Ho berkata, usaha membantu rakyat memiliki rumah perlu disertai langkah memudahkan pemaju membina kediaman pada harga yang mampu ditanggung pembeli.
Menurutnya, peningkatan kos pembinaan, fi pematuhan serta kelewatan proses kelulusan boleh menyukarkan pemaju menyediakan rumah pada harga berpatutan sekiranya perkara itu tidak ditangani secara bersama oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Kita menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2027 bagi membantu rakyat memiliki rumah.
"Dalam perkara ini, inisiatif membantu pembeli perlu disokong usaha menangani cabaran dari sudut pembangunan supaya penyediaan kediaman terutama rumah mampu milik dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2026 yang dirasmikan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng di AEON Mall Kinta City di sini pada Khamis.
Ban Ho berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan pemain industri untuk mengurangkan kos yang tidak perlu, menyelaraskan prosedur kelulusan serta memperkukuh koordinasi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan syarikat utiliti.
"Usaha membantu rakyat membeli rumah mampu milik perlu berjalan seiring dengan usaha memastikan rumah mampu milik itu juga dapat dibina," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perak mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai pembeli rumah, pelabur dan perniagaan berikutan kos sara hidup yang kompetitif, kemudahan infrastruktur serta tarikan alam semula jadi dan warisan budaya.
Namun katanya, pembangunan hartanah perlu bergerak seiring dengan penyediaan peluang pekerjaan, jaringan pengangkutan, kemudahan awam dan pelaburan ekonomi bagi merealisasikan potensi berkenaan.
MAPEX Perak 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 14 hingga 18 Oktober itu menampilkan penyertaan 23 pemaju hartanah menerusi 30 reruai, dengan penawaran sebanyak 2,301 unit hartanah bernilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.2 bilion.