KOTA KINABALU - Daripada puluhan petugas media yang memenuhi galeri awam Mahkamah Koroner pada awal prosiding, hanya kira-kira lima wartawan terus bertahan sehingga penghujung inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang berlangsung selama 96 hari.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi petugas media dalam memastikan setiap perkembangan prosiding dapat disampaikan kepada masyarakat dengan tepat dan pantas.
Antara cabaran yang dihadapi termasuk sekatan pengambilan gambar pada penghujung tempoh liputan, malah wartawan turut berdepan insiden kamera dirampas selain diminta memadam gambar yang dirakam menggunakan telefon bimbit serta kamera.
Malah, sejak di awal prosiding, anggota badan, beg dan barangan peribadi petugas media turut diperiksa sebelum dibenarkan memasuki bilik mahkamah bagi mengikuti inkues yang mendapat perhatian seluruh negara itu.
Bagaimanapun, di sebalik pelbagai cabaran sepanjang liputan berkenaan, komitmen petugas media akhirnya mendapat penghargaan daripada barisan peguam yang mewakili pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Peguam mewakili pelajar A yang dikaitkan dalam kes Zara Qairina, Joan Goh, menzahirkan penghargaan terhadap peranan media yang disifatkannya berjaya memberikan liputan secara adil dan seimbang sepanjang prosiding berlangsung.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak media kerana anda semua telah memberikan liputan yang sangat adil dan seimbang terhadap kes ini," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina, Shahlan Jufri turut merakamkan penghargaan terhadap petugas media yang mengikuti perkembangan inkues sejak September tahun lalu.
Beliau turut memuji profesionalisme petugas media dalam menyampaikan laporan dengan tepat dan pantas sepanjang tempoh berkenaan.
"Terima kasih kepada media. Sejak September tahun lalu, setiap hari kami mengadakan sidang media dan saya percaya semua pihak media telah menjalankan tugas secara profesional.
"Terima kasih banyak-banyak kerana melaporkan inkues ini dengan tepat dan pantas," katanya.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina berakhir pada Rabu lalu selepas berlangsung sejak 3 September 2025, dengan seramai 83 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bangunan bawah asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan dilaporkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), di sini.
Kematian pelajar tersebut mendapat perhatian awam di seluruh negara apabila dikaitkan dengan perbuatan buli yang membawa kepada prosiding inkues serta pendakwaan lima remaja yang dikaitkan dengan kejadian tersebut.