Penyelidik bahtera Nabi Nuh dakwa diugut bunuh

Iklan
Ugutan diterima ketika aktiviti penyelidikan giat dilakukan di lokasi Bahtera Nabi Nuh. Foto: Agensi

ANKARA - Seorang penyelidik yang menjalankan usaha mencari bukti kewujudan bahtera Nabi Nuh di Turkiye mendakwa menerima ugutan bunuh dan berdepan kejadian pecah masuk rumah susulan projek penyelidikannya.

Pengasas Noah's Ark Scans, Andrew Jones berkata, ancaman itu bermula beberapa bulan lalu selepas pasukannya mengumumkan kejayaan memperoleh permit daripada kerajaan Turkiye untuk menjalankan penyelidikan di lokasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut laporan CBN News pada Khamis, Jones mendakwa beberapa individu tidak dikenali mengetuk pintu apartmennya dengan kuat pada tengah malam sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh dalam bahasa Inggeris.

"Mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan mengancam untuk membunuh saya," katanya.

Iklan

Beliau bagaimanapun mengakui tidak dapat memastikan sama ada ancaman tersebut mempunyai kaitan langsung dengan ekspedisi mencari bahtera Nabi Nuh.

Menurut Jones, kejadian sama berulang beberapa hari kemudian sehingga memaksanya meninggalkan apartmen dan menumpang di rumah seorang rakan atas faktor keselamatan.

Iklan

Jones turut mendedahkan proses mendapatkan permit penyelidikan mengambil masa bertahun-tahun kerana memerlukan kerjasama universiti serta ahli akademik tempatan.

Katanya, pasukan penyelidik hanya mempunyai tempoh sebulan untuk mengumpulkan dana dan menguruskan persiapan selepas permit diluluskan pada awal tahun ini.

Beliau mendakwa profesor tempatan yang terlibat dalam projek itu turut menerima kecaman, termasuk dilabel sebagai pengkhianat oleh pihak tertentu.

Walaupun berdepan pelbagai tekanan, Jones menegaskan pasukannya tidak bercadang menghentikan usaha penyelidikan tersebut.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa lokasi berkenaan merupakan tapak sebenar bahtera Nabi Nuh masih belum dibuktikan secara saintifik. - Agensi