KUALA LUMPUR – Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa, Kerajaan telah membayar lebihan pampasan antara RM400,000 hingga RM500,000 kepada Syarikat Semantan Estate Sdn Bhd (1952) pada tahun 1956.
Tan Tat Khuan, 40, berkata, ia bagi pengambilan tanah seluas 106.542 hektar di Enklaf Duta yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Duta.
Sebelum ini beliau menilai tanah di Mukim Batu itu mencecah RM875,000 hingga RM985,000, sedangkan Kerajaan selaku defendan telah membayar sebanyak RM1.39 juta.
"Jika mahkamah bersetuju dengan pengiraan saya sebanyak RM875,000 manakala penilaian kedua berjumlah RM985,000 maka tiada pampasan tambahan perlu dibayar kepada syarikat berkenaan.
“Kedua-duanya merupakan nilai terendah bagi jumlah pampasan yang dinilai," katanya ketika disoal Peguam Persekutuan Kanan, Nurhafizza Azizan yang mewakili defendan.
Bagaimanapun, Tat Khuan berkata, kerajaan mungkin perlu membayar pampasan tambahan RM1.23 juta sekiranya mahkamah menerima penilaian yang dikemukakan penilai swasta bagi pihak Semantan Estate.
Beliau berkata, penilai swasta itu meletakkan nilai tanah berkenaan sebanyak RM2.62 juta, berbanding RM1.39 juta yang telah dibayar kerajaan.
Beliau berkata, dua penilaian yang dibuat menggunakan keluasan tanah berbeza iaitu penilaian pertama sebanyak 81.24 hektar (200.75 ekar) manakala penilaian kedua ialah 106.542 hektar (263.272 ekar).
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Ira Biswas yang mewakili Semantan Estate selaku plaintif, Tat Khuan turut mengakui tidak dapat mengesahkan secara bebas sekatan pembangunan yang terpakai ke atas tanah itu pada 1956.
Beliau berkata, ini kerana rekod perancangan asal tidak dapat ditemukan.
Ira mempersoalkan pergantungan Tat Khuan terhadap laporan penilaian terdahulu yang disediakan dua penilai lain, iaitu AA Wragg dan AIG Harding.
Tat Khuan bersetuju bahawa, beliau tidak mengemukakan dokumen perancangan asal untuk mengesahkan sekatan secara bebas.
Beliau berkata, semakan dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) juga gagal menemukan rekod perancangan bagi tahun 1956.
Bagaimanapun, Tat Khuan menegaskan laporan terdahulu itu boleh dipercayai kerana kedua-dua penilai berkenaan telah membuat semakan pada masa itu dan memperoleh dapatan yang konsisten.
Hakim, Roslan Mat Nor kemudian bertanya sama ada laporan berkenaan berkemungkinan mengandungi kesilapan.
Tat Khuan menjawab bahawa beliau tidak menyatakan laporan itu 100 peratus tepat, namun berpandangan ia masih boleh dijadikan sandaran.
Beliau kemudian tidak bersetuju dengan cadangan Ira bahawa laporan berkenaan merupakan keterangan dengar cakap.
“Walaupun maklumat perancangan itu tidak dapat disahkan melalui rekod asal, namun laporan terdahulu berkenaan digunakan sebagai rujukan dalam menyediakan penilaiannya sendiri,” katanya.
Perbicaraan bersambung pada 23 November depan.
Pada tahun 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Kerajaan, mendakwa berlaku pencerobohan tanah secara haram daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan berfaedahnya dalam tanah itu, yang telah diambil secara tidak sah oleh Kerajaan.
Kerajaan kemudian memfailkan rayuan, namun ia ditolak pada 18 Mei 2012.
Kemudian pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu, berhubung keputusan itu.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi 2009.
Beberapa tahun kemudian iaitu pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan Kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.
Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.
Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan Kerajaan kepada syarikat berkenaan.
Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan syarikat terbabit untuk menguatkuasakan perintah 2009.
Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan Kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan penghakiman berkenaan.
Hakim itu juga membenarkan pelikuidasi syarikat sebagai pemilik asal tanah dan Kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM50,000.
Mahkamah juga membenarkan permohonan syarikat, agar Kerajaan mendaftarkan pelikuidasi Ladang Semantan sebagai pemilik rasmi tanah dan bebas daripada bebanan.
Ia termasuk kertas kerja undang-undang yang diperlukan secara lengkap untuk memindahkan hak milik tanah, mengeluarkan hak milik tanah baharu atas nama pelikuidasi dan mengembalikan pemilikan fizikal tanah kepada pemilik sah.
Keputusan itu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad.
Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan Semantan Estate tidak berhak terhadap hak milik tanah berkenaan, namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika ia diambil alih Kerajaan.