[VIDEO] Pegawai AKPS maut: Suspek sempat telefon abang ipar beritahu isterinya sudah tiada

Iklan

TUMPAT – Suami kepada mangsa pembunuhan, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, sempat menghubungi abang iparnya dan memaklumkan bahawa wanita itu sudah meninggal dunia pada malam Khamis.

Marliza memegang gambar Norhazwani (gambar kecil) di telefon bimbit dan ditatap anak sulung mangsa.

Iklan
Iklan

Mohd Hazwan Ibrahim, 38, berkata, sebelum itu, suami adiknya menghubunginya sekitar jam 7.30 malam untuk memintanya menjadi saksi lafaz cerai terhadap mangsa sebelum talian terputus.

“Dia minta saya menjadi saksi untuk mereka bercerai. Saya kata okey sahaja sebelum talian terputus kerana rangkaian tidak jelas dan saya pula sedang memandu pulang ke Kelantan.

Iklan

“Kira-kira 10 minit kemudian, saya menelefonnya semula, tetapi dia memberitahu bahawa adik saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini, pada Jumaat.

Mohd Hazwan

Iklan

Suspek berusia 30-an yang disyaki membunuh isterinya di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Mangsa, Norhazwani, 35, ditemukan maut dengan kesan tikaman.

Menurut Mohd Hazwan, dia turut bertanya kepada adik iparnya sama ada lelaki itu telah mencederakan mangsa. Namun, lelaki itu menjawab bahawa dia sudah berada di Balai Polis Sepang, Selangor, untuk menyerah diri.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan mereka adalah pada jam 10.30 pagi sebelum saya bertolak pulang. Mereka nampak baik-baik sahaja, tidak bergaduh dan kedua-duanya bersalam dengan saya. Saya tidak sangka perkara seperti ini akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Marliza Ibrahim, 48, berkata, Norhazwani baru sahaja kembali ke Negeri Sembilan pada Isnin lalu selepas pulang ke Kelantan bagi menguruskan permohonan fasakh.

Katanya, suspek pula baru tiga hari dibebaskan dari lokap kerana dipercayai terlibat dalam kes berkaitan dadah.

Jenazah Norhazwani dijangka dibawa pulang ke kampung halaman pada esok hari untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor.

 

Marliza berkata, dia turut membantu menjaga dua anak perempuan pasangan itu yang masing-masing berusia enam dan lima tahun sejak mereka kecil kerana pasangan itu sukar mendapatkan pengasuh, manakala Norhazwani pula bekerja mengikut syif.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam maut dipercayai dibunuh suami

Polis sahkan pegawai AKPS maut dipercayai dibunuh suami

Pegawai kerajaan mati dipercayai dibunuh suami dalam proses cerai - Abang mangsa

Perselisihan rumah tangga dipercayai punca pegawai AKPS maut ditikam suami - Polis

Pegawai AKPS maut: Suami serah diri ke balai polis selepas tikam isteri, pisau dirampas

Menurutnya, kedua-dua kanak-kanak itu masih belum dimaklumkan mengenai kematian ibu mereka.

“Anak sulungnya ada bertanya tentang ibu mereka dan meminta untuk membuat panggilan video pagi tadi, tetapi saya menjawab bahawa ibu mereka sedang bekerja.

“Anaknya juga ada bertanya mengapa saya menangis, mengapa ramai orang berada di rumah dan siapa yang meninggal dunia. Namun, saya hanya diam kerana tidak dapat menjawab apa-apa,” katanya.

Marliza berkata, jenazah anak bongsu daripada sembilan beradik itu dijangka dibawa pulang ke kampung halaman pada esok hari untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor.